GELAGAT Correa meraikan jaringan ketika menentang Valencia. - FOTO AFP
Reuters

ATLETICO Madrid menangguhkan hasrat Barcelona yang mahu meraikan kejuaraan La Liga lebih awal selepas menewaskan Valencia 3-2 dalam aksi menghiburkan di Stadium Wanda Metropolitano, awal pagi tadi.

Atletico sedar kekalahan bakal mengesahkan kejuaraan kelapan milik Barca dalam tempoh 11 tahun tetapi kemenangan yang dicapai membolehkan skuad Diego Simeone meraih 71 mata daripada 34 perlawanan dengan sembilan mata di belakang The Catalan.

Tetapi Barca tetap dinobatkan juara jika menewaskan Levante di tempat sendiri pada awal pagi Ahad ini malah boleh meraikannya sebelum sepak mula seandainya Atletico kalah kepada Real Valladolid di tempat sendiri pada Sabtu.

Alvaro Morata meletakkan Atletico di depan pada minit ke-9 selepas menolak bola masuk dari jarak dekat tetapi Valencia menyamakan kedudukan minit ke-36 menerusi bekas penyerang Atletico, Kevin Gameiro.

Penjaring terbanyak Atletico, Antoine Griezmann kembali meletakkan tuan rumah melalui tandukan pada awal babak kedua tetapi pelawat yang memburu slot keempat La Liga mendapat penalti selepas VAR mengesahkan bola terkena tangan Saul Niguez.

Kapten Dani Parejo tenang menyempurnakannya tetapi Atletico kembali mendahului untuk gol ketiga menerusi rembatan Angel Correa sekali gus menceriakan penyokong tuan rumah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 April 2019 @ 12:41 PM