KLOPP menguji skuadnya di Amerika Syarikat pada Julai depan. - FOTO Agensi
AFP

PENCABAR kejuaraan Liga Perdana, Liverpool akan menyertai aksi pramusim di Amerika Syarikat menjelang kempen 2019-20, menurut jurucakap kelab.

Liverpool yang kini mendahului liga dengan kelebihan dua mata mengumumkan tiga aksi persahabatan di AS sebagai persiapan menghadapi musim depan.

The Reds akan menentang Borussia Dortmund yang juga bekas kelab pengurus mereka, Jurgen Klopp dalam aksi kompetitif pertama di Universiti Notre Dame, Indiana yang mampu memuatkan 77,000 penonton pada 17 Julai.

Liverpool kemudiannya terbang ke Boston dan menentang Sevilla pada 21 Julai di Fenway Park -- venue Boston Red Sox, salah satu aset berharga kepunyaan pemilik Liverpool, Fenway Sports Group.

Aksi persahabatan terakhir menentang Sporting Lisbon pada 24 Julai di Stadium Yankee, New York.

"Kami akan menuju ke tiga lokasi hebat tahun ini,” kata Billy Hogan, pengarah urusan dan ketua pegawai komersial.

"Setiap stadium mempunyai tarikan tersendiri dan kami akan menentang tiga pasukan hebat, Borussia Dortmund, Sevilla dan Sporting."

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 April 2019 @ 8:55 AM