GAYA Suarez meraikan jaringan ketika menentang Alaves. - FOTO Reuters
AFP

BARCELONA menewaskan Alaves 2-0 awal pagi tadi bagi menjarakkan kedudukan 12 mata di puncak La Liga dan bakal dinobat juara jika Atletico Madrid tewas kepada Valencia awal pagi esok.

Lionel Messi hanya memanaskan bangku simpanan di Mendizorrotza, menunjukkan betapa selesa Barca dalam memburu kejuaraan dengan hanya menunggu masa untuk mereka menjulang trofi.

Jika Atletico berjaya mengelak kekalahan di Wanda Metropolitano, Barcelona tetap muncul juara di Camp Nou dengan menewaskan Levante pada awal pagi Ahad ini.

Malah mereka mampu mengesahkan kejuaraan sebelum sepak mula jika Atletico gagal meraih empat mata ketika menentang Valencia dan Real Valladolid.

"Kemenangan ini sangat berharga. Kami hanya perIu tiga mata daripada baki empat perlawanan. Gembira dan lega berada di posisi ini selepas bekerja keras dalam beberapa bulan sebelum ini,” kata jurulatih Ernesto Valverde.

Real Madrid yang beraksi kurang satu perlawanan akan menentang Getafe awal pagi Jumaat ini dan berada di tempat ketiga dengan 16 mata di belakang Barcelona. Alaves kekal di tangga kelapan dengan harapan ke Liga Europa musim depan semakin samar.

Messi masuk sebagai pemain gantian pada minit ke-61 selepas pasukannya menjaringkan dua gol menerusi Carles Alena dan penalti Luis Suarez.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 April 2019 @ 8:06 AM