LEANDRO meraikan gol kedua Perak bersama rakan sepasukan. — FOTO Syarafiq Abd Samad
Syazwan Msar
mohdsyazwan@hmetro.com.my


PERAK terus membuktikan mereka pakar seri apabila membawa pulang satu mata selepas seri 3-3 dengan Kuala Lumpur pada perlawanan Liga Super di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, malam ini.

Skuad kendalian Mehmet Durakovic terlebih dahulu berada di depan seawal minit ketujuh hasil kesilapan pertahanan Kuala Lumpur, Zaiful Abdul Hakim yang tertolak bola masuk ke gawang sendiri.

Kuala Lumpur kendalian Chong Yee Fatt bagaimanapun menyamakan kedudukan pada minit ke-21 selepas penjaga gol Perak, Hafizul Hakim Jothy gagal menangkap kemas sepakan percuma sebelum disambar penyerang veteran Indra Putra Mahayuddin.

Pelawat kembali mendahului menerusi sepakan penalti Leandro Dos Santos pada minit ke-29 sebelum Kuala Lumpur menyumbat gol penyamaan juga menerusi sepakan penalti disempurnakan Guilherme De Paula seminit sebelum rehat.


PEMAIN Kuala Lumpur, Zaiful (kiri) diasak Nor Hakim Hassan pada aksi Liga Super, malam ini. — FOTO BERNAMA

Babak kedua menyaksikan dua kad merah dilayangkan kepada pemain tuan rumah Luke Woodland dan pertahanan Perak, Nazirul Naim Che Hashim.

Namun, giliran Kuala Lumpur pula berada di depan menerusi Paulo Josue untuk kedudukan 3-2 pada minit ke-65.

Kegagalan tuan rumah mengekang asakan lawan membawa padah apabila Nor Hakim Hassan meledak gol penyamaan lima minit sebelum tamat.

Keputusan itu menyaksikan Perak, yang seri kali ketujuh dalam 10 perlawanan, melonjak ke tangga kelapan dengan 10 mata manakala Kuala Lumpur di tangga kedua tercorot dengan lapan mata.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 April 2019 @ 11:29 PM