EMERY berdepan tugas getir menentang Wolves di tempat lawan. - FOTO Agensi
AFP

UNAI Emery berdepan dilema di bahagian pertahanan yang dianggap menjadi kunci kepada impian Arsenal menduduki empat teratas dalam kempen Liga Perdana.

Gunners berkunjung ke Wolves pada awal pagi Khamis ini selepas terlepas peluang memintas sekurang-kurangnya dua pasukan, Tottenham, Chelsea dan Manchester United apabila tewas kepada Crystal Palace 2-3 di tempat sendiri, Ahad lalu.

Pertahanan Arsenal jelas rapuh ketika itu. Dua jaringan lawan diperolehi melalui set piece dan satu lagi hasil kesilapan ‘luar biasa’ Shkodran Mustafi.

Pengurus Gunners, Emery memilih merehatkan beberapa pemain selepas menang di Napoli dan membawa kelab utara London ke separuh akhir Liga Europa.

Namun strategi itu tidak menjadi dan pengurus dari Sepanyol itu perlu memilih sama ada mengekalkan tiga pertahanan untuk membolehkan Mesut Ozil mara lebih jauh di belakang Pierre-Emerick Aubameyang dan Alexandre Lacazette atau memilih jalan selamat dengan empat pertahanan seperti kebiasaannya.

Arsenal menang 1-0 di Watford dengan empat pertahanan dan tidak mengejutkan jika Nacho Monreal kembali beraksi di bahagian pertahanan kiri dan Ainsley Maitland-Niles yang masuk sebagai pemain gantian pada Ahad lalu kembali beraksi di posisi kanan.

"Saya yakin dengan cara kami dan saya mahu mahu terus positif kerana kami telah bekerja keras dan slot empat teratas mampu dicapai,” kata Emery selepas tamat perlawanan menentang Palace, Ahad lalu.

"Hari ini kami kecewa tetapi esok kami akan bangkit dan sedia menentang Wolves dan ia memang sukar tetapi semuanya kini di tangan kami.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 April 2019 @ 9:17 AM