PENYOKONG Liverpool ketika menyaksikan perlawanan di Stadium Cardiff City. - FOTO Agensi
AFP

PENGURUS Liverpool, Jurgen Klopp memuji kesungguhan pemainnya yang tidak mudah menyerah kalah dalam memburu kejuaraan Liga Perdana selepas menewaskan Cardiff semalam.

Jaringan Georginio Wijnaldum dan penalti James Milner membolehkan skuad Klopp meraih kemenangan kesembilan berturut-turut dalam semua kejohanan dan memintas kembali Manchester City yang mempunyai kelebihan satu perlawanan di puncak liga.

"Tiga mata yang sangat berharga. Kami banyak bercakap mengenai perlawanan ini dan betapa ia sangat istimewa malah kepada lawan,” kata Klopp yang turut tidak menyenangi permukaan padang Cardiff yang kering.

"Aksi yang tidak mudah. Pertarungan membabitkan semangat dan keinginan.”


WIJNALDUM (dua dari kanan) meraikan jaringan ketika menentang Cardiff. - FOTO Agensi

City berkunjung ke Manchester United pada awal pagi Khamis ini yang dianggap halangan terakhir paling sukar buat juara bertahan itu untuk menafikan hasrat Liverpool menamatkan kemarau trofi Liga Perdana dalam masa 29 tahun.

The Reds sudah pasti merebut peluang jika skuad Pep Guardiola gagal meraih mata maksimum dalam baki empat perlawanan mereka.

Bagaimanapun, City mungkin boleh menarik nafas lega selepas moral United terjejas apabila dibelasah Everton, semalam.

"Prestasi United lebih baik ketika kami seri menentang mereka,” kata Klopp. “Tetapi jika mereka mendapat mata atau tidak, kami masih ada perlawanan lagi untuk dihadapi, maka kami perlu terus fokus.”

Cardiff pula wajar dipuji selepas mempamerkan tentangan sengit kepada Liverpool dan mereka tiada pilihan selain wajib menewaskan Fulham dan Crystal Palace dalam aksi selepas ini untuk menghidupkan sisa harapan kekal dalam Liga Perdana.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 April 2019 @ 10:37 AM