Pemain Sabah, Luiz Carlos Junior (tengah) dikawal rapi pemain pertahanan UKM FC pada aksi Liga Perdana. FOTO Edmund Samunting.
Ryan Stanley
sukanteam@nstp.com.my


SABAH mengakhiri saingan pusingan pertama Liga Perdana dengan kemenangan apabila menewaskan UKM FC 3-1 di Stadium Likas, Kota Kinabalu, malam ini.

Skuad Tambadau memperolehi jaringan pertama menerusi Alto Linus pada minit ke-20, berpunca daripada hantaran lintang Rodoljub Paunovic yang kemudiannya ditanduk kemas Alto Linus.

Jaringan berkenaan tidak mematahkan semangat pasukan pelawat yang beberapa kali membahayakan pintu gol Sabah dan akhirnya berjaya menyamakan kedudukan hasil rembatan kaki kiri Mohd Hafizi Amiruddin pada minit ke-42.

Bagaimanapun, kesilapan penjaga gol UKM FC pada minit ke-45 mengakibatkan gawangnya dibolosi apabila tendangan Dendy Lowa dari jarak hampir setengah padang terus melantun masuk ke dalam pintu gol UKM FC.

Babak kedua permainan, Sabah terus garang apabila memperolehi gol ketiga hasil jaringan Paunovic pada minit ke-59 selepas pertahanan UKM FC, Mohd Akmal Zahir, yang cuba menanduk bola ke belakang namun disambar oleh Paunovic yang kemudiannya melakukan rembatan deras dari luar kotak penalti bagi menjadikan kedudukan 3-1.

UKM FC yang melakukan serangan hampir memperolehi gol kedua menerusi cubaan jarak jauh penyerang import mereka, Mateo Roskam, namun, ianya berjaya ditepis keluar penjaga gol Sabah, Rozaimie Rohim.

Pada minit ke-86, Sabah hampir menambah jaringan menerusi sepakan percuma Luis Carlos Junior, bagaimanapun, cubaannya berjaya ditepis keluar oleh Khatul dan kedudukan 3-1 kekal sehingga pengadil perlawanan meniupkan wisel penamat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 April 2019 @ 10:50 PM