NORWICH City. FOTO AFP
AFP

NORWICH City memerlukan jaringan penyamaan pada minit ketujuh masa kecederaan untuk mencatat seri 2-2 di laman sendiri dengan Sheffield Wednesday awal pagi tadi untuk hampir menyertai Liga Perdana Inggeris.

Mario Vrancic dijatuhkan di luar kawaasn oleh Marco Matias dan bangkit untuk melencongkan sepakan percuma melepasi Cameron Dawson.

Keputusan itu membolehkan Norwich berada lima mata di atas Sheffield United dan Leeds dengan baki tiga perlawanan dalam Liga Kejuaraan.

Rembatan jauh Marco Stiepermann memberikan mata pendahulu buat Norwich pada minit ke-19 di Carrow Road sebelum Fernando Forestieri menyamakan sebelum tamat separuh masa pertama.

Steven Fletcher terus meletakkan Wednesday di depan pada minit ke-53 sebelum Norwich menyelamatkan perlawanan mereka pada saat akhir.

Sementara itu harapan Marco Bielsa untuk membawa Leeds United kembali ke Liga Perdana secara automatik selepas 15 tahun, menerima tamparan hebat apabila tewas 1-2 kepada Wigan yang beraksi dengan 10 pemain.

Dua jaringan Gavin Massey menyaksikan kelab bergelut di divisyen dua itu bangkit untuk menutup mulut 30,000 penyokong tuan rumah dan meletakkan Leeds di tangga ketiga di belakang Sheffield United menerusi perbezaan gol.

Terdahulu Sheffield United kembali ke tangga kedua selepas menewaskan Nottingham Forest yang beraksi dengan 10 pemain, 2-0.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 April 2019 @ 10:42 AM