ARSENAL. FOTO Solaro / AFP
AFP

AINSLEY Maitland-Niles percaya kejayaan Arsenal mara ke separuh akhir Liga Europa akan membantu mereka merebut empat tangga teratas Liga Perdana Inggeris bermula dengan aksi menentang Crystal Palace malam esok.

Anak buah Unai Emery menyertai kelompok empat terbaik semalam apabila jaringan Alexandre Lacazette mengesahkan kemenangan 1-0 di Napoli serta kemenangan agregat 3-0.

Arsenal akan menentang Valencia pada separuh akhir dan Emery mahu menjulang gelaran Liga Europa keempat peribadinya dan layak ke Liga Juara-Juara.

Ia pastinya memberikan penamat gemilang untuk musim pertama Emery bersama Arsenal tetapi jika mereka gagal di Liga Europa, mereka masih berpeluang mara ke Liga Juara-Juara jika berada dalam kelompok empat terbaik Liga Perdana.

Arsenal yang kini di tangga keempat mengatasi Chelsea dengan perbezaan gol, tidak mempunyai ruang untuk melakukan kesilapan tetapi pertahanan Maitland-Niles percaya pasukannya semakin matang hasil persembahan di Eropah dan kini dapat menamatkan perlawanan dengan lebih baik.

“Ia liga yang mencabar di England. Kami mempelajari kaedah berbeza di Eropah kerana kadang kala kami perlu menjadi seperti pasukan luar negara dan berusaha mendapatkan keputusan. Ia menjadi ketika ini,” katanya.

“Saya fikir kami juga semakin serasi. Pengurus cuba memperbaiki barisan pertahanan jadi kami semua tahu apa yang perlu dilakukan, bukan sekadar menjatuhkan diri di gawang dan tidak melakukan kesilapan bodoh di kawasan penalti.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 April 2019 @ 10:22 AM