DARI kiri: Roth, Vogt, Adlan dan Zenovich di Tour De Iskandar Johor 2019 (TDIJ). FOTO Aswadi Alias
Ferzalfie Fauzi
ferzalfie@mediaprima.com.my


TEAM Sapura Cycling (TSC) boleh diibaratkan kuasa baru dalam sukan berbasikal lebuh raya negara apabila mereka mencipta satu lagi sejarah merangkul tiga gelaran pada Tour de Iskandar Johor (TdIJ) hari ini.

Perlumbaan tiga peringkat berstatus 2.2 itu dilihat menjadi ‘taman permainan’ baru buat TSC terutama selepas mereka mengulangi sejarah di Le Tour de Langkawi (LTdL) membolot juara individu keseluruhan menerusi pelumba Jerman, Mario Vogt.

Vogt yang sudah dua tahun bersama TSC berada dalam kelompok besar yang melintasi garisan penamat hari ini untuk meraih jersi biru (juara keseluruhan), manakala juara untuk peringkat terakhir dari Kluang ke Johor Bahru diraih pelumba pasukan Henxiang, Wang Juanyong.

Tempat kedua pula diraih pelumba Giant, Chen Ziwen, manakala Andre Looij dari Taiyuan Moigee menduduki tempat ketiga.

Menurut Vogt, dia berasa tidak terlalu sukar untuk mengekalkan jersi diraihnya semalam (peringkat kedua) selepas mereka menggunakan taktik yang betul dalam perlumbaan sejauh 107.7 kilometer.

“Memang ada pemecahan hari ini namun kami masih lagi kekal dalam peloton kerana berasakan ia terlalu bahaya untuk mengejar mereka. Akhirnya mereka berjaya meraih mata bonus (zon pecutan dan pendakian) namun taktikal kami menjadi kerana perlumbaan berakhir dalam hujan,” katanya yang menduduki tempat ke-42.


JUANYONG menjuarai peringkat ketiga dari Kluang ke Johor Bahru pada Tour De Iskandar Johor 2019 (TDIJ). FOTO Aswadi Alias

Dia yang menduduki tempat ke-13 keseluruhan di Tour de Tochigi di Jepun Mac lalu mengakui amat gembira dengan gelaran itu dan berazam untuk mempertahankannya tahun depan.

“Sebenarnya sudah lama saya tidak muncul juara keseluruhan yang mana kali terakhir pada 2010 (Jelajah Antarabangsa Rothaus Regio dan Tour du Valromey) dan ketika itu saya masih lagi remaja.

“Tahun lalu saya berpeluang muncul juara keseluruhan apabila beberapa kali menduduki kelompok 10 terbaik (keenam Tour de Banyuwangi Ijen, ke-10 Tour Fatih Sultan Mehmet dan kelima Tour Cartier) namun selepas saya belajar bagaimana untuk berlumba di Asia akhirnya saya berjaya menggapainya,” katanya yang menamatkan saingan keseluruhan dengan lapan jam 33 minit 46 saat, dua saat mengatasi Kohei Uchima (Team Ukyo) di tempat kedua keseluruhan, manakala ketiga diraih seorang lagi pelumba TSC, Cristain Raileanu.

TSC juga menggondol jersi hitam (pelumba muda terbaik keseluruhan) melalui Shaiful Adlan Shukri, manakala jersi putih (Raja Pecut) milik pelumba XSpeed United, Ryan Roth selepas mengumpul 25 mata dan jersi merah (Raja Bukit) dibawa pulang Matthew Zenovich (St George) apabila meraih enam mata.

Kejayaan Vogt dan Adlan membantu TSC muncul juara pasukan keseluruhan selepas merakam masa keseluruhan 25’42:13, mengetepikan Team Ukyo (25’44:00) dan tempat ketiga diraih Henxiang (25’44:15).


AKSI pelumba peringkat ketiga TDIJ dari Kluang ke Johor Bahru di Tour De Iskandar Johor 2019 (TDIJ). FOTO Aswadi Alias

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 April 2019 @ 6:30 PM