Figueroa (kanan) tidak pandang mudah aksi menentang skuad Rajagobal. FOTO NSTP
Rizar Mohd Noor
sukanteam@nstp.com.my


JOHOR Darul Ta'zim (JDT) menangkis tanggap betapa pasukan itu akan mendapat laluan mudah apabila melayan kunjungan PKNS FC pada aksi pusingan ketiga Piala FA di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam esok.

Pengurus JDT, Luciano Figueroa menegaskan PKNS FC yang dibimbing Datuk K Rajagobal merupakan pasukan hebat dan memiliki barisan pemain yang mampu memberikan kejutan jika pemain JDT tidak berhati-hati dalam perlawanan itu.

Katanya, pada perlawanan itu kemungkinan besar JDT akan melakukan perubahan pemain selepas pasukan mengharungi jadual padat walaupun sedar aksi Piala FA merupakan saingan kalah mati dan tidak boleh bersikap sambil lewa.

"Untuk aksi menentang PKNS FC, saya akan menggilirkan pemain dan ia perlu memandangkan aksi seterusnya menentang pasukan yang sama pada saingan Liga Super, Sabtu ini dan saya anggap kedua-dua perlawanan iaitu Piala FA dan liga amat penting.

"Sudah tentu ia perlawanan penting buat JDT kerana aksi pusingan ketiga adalah kalah mati dan kami tidak boleh bersikap sambil lewa sebaliknya harus berwaspada dengan corak permainan PKNS FC yang sememangnya berbahaya.

"Kami terpaksa melupakan khidmat Natxo (Insa) dalam tempoh yang agak lama kerana dia masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan dan mungkin akan ada rombakan di posisi tengah bagi menguatkan posisi itu," katanya.

Beliau juga menegaskan keadaan Leandro Velazquez tampak semakin pulih daripada kecederaan namun perlu mendapat pengesahan daripada pegawai perubatan sama ada pemain itu boleh diturunkan atau bermula di bangku simpanan pada aksi menentang PKNS FC nanti.

Katanya, saingan Piala FA berbeza dengan saingan liga dan corak permainan pasukan lawan juga akan berubah dengan lebih pantas dan setiap pemain JDT tidak boleh leka walaupun sesaat kerana lawan akan ambil kesempatan untuk menghukum setiap kesilapan.

"Saya optimis pemain JDT akan beri persembahan terbaik dalam perlawanan itu dan bekerja keras untuk memastikan kemenangan dan melangkah ke saingan suku akhir.

Apa pun kita kena tenang dan tidak boleh beraksi dalam tekanan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 April 2019 @ 2:12 PM