MORBIDELLI raih tempat kelima di GP Americas.
BERNAMA

PASUKAN MotoGP pertama Malaysia, PETRONAS Yamaha Sepang Racing Team (PETRONAS Yamaha SRT) memperoleh keputusan terbaik mereka setakat ini di Grand Prix of The Americas, Amerika Syarikat, semalam.

Pada pusingan ketiga Kejohanan Motosikal Dunia 2019 yang berlangsung di Litar Americas (COTA) di Austin, Texas, pelumba Itali, Franco Morbidelli dan pelumba Perancis Fabio Quartararo yang mewakili Petronas Yamaha SRT masing-masing menamatkan perlumbaan di tempat kelima dan ketujuh.

Menurut laman sesawang rasmi pasukan itu, pelumba Itali itu yang bermula dari petak ke-10 berupaya meningkatkan kedudukan ke tempat kelapan sebaik sahaja perlumbaan bermula dan mara ke kedudukan kelima dalam lap keenam dan berjaya mengekalkannya sehingga ke garisan penamat.

Ia keputusan terbaik dalam kerjayanya pada kelas premier itu setakat ini.

“Ia perlumbaan hebat di Austin dan saya amat gembira. Nasib tidak menyebelahi kami di peringkat kelayakan semalam tetapi saya tahu peluang kami tetap ada. Saya berjaya meningkatkan kedudukan dan memperoleh tempat kelima pertama saya dalam kelas premier ini,” kata Morbidelli.

Menurutnya, pasukan itu semakin meningkat dan hampir kepada kedudukan teratas.

Sementara itu, Quartararo adalah pelumba bakat baharu terbaik di Grand Prix of the Americas, sebagaimana beliau capai dalam pusingan di Argentina.

Selepas Grand Prix of The Americas, Quartararo berada di kedudukan ke-10 secara keseluruhan dengan mengutip 17 mata sementara Morbidelli di tempat ke-11 dengan 16 mata.

Tugasan mereka seterusnya ialah di Grand Prix Sepanyol yang akan berlangsung pada 5 Mei ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 April 2019 @ 7:23 PM