EDUARDO (dua dari kiri) menjaringkan gol kedua Pahang di Stadium Shah Alam. - FOTO Sairien Nafis
Syazwan Msar
mohdsyazwan@hmetro.com.my

PAHANG membuktikan pasukan mereka sukar ditundukkan apabila terus mengekalkan rekod tanpa kalah dengan menumpaskan PKNS FC 2-1 dalam saingan Liga Super di Stadium Shah Alam, sebentar tadi.

Jaringan Dickson Nwakaeme dan Jose Eduardo pada minit 24 dan 75 sudah cukup untuk skuad Tok Gajah membawa pulang tiga mata penting bagi mencabar pendahulu liga, Johor Darul Ta’zim.

Separuh masa pertama menyaksikan skuad kendalian Tok Gajah lebih menguasai permainan dengan melancarkan serangan bahaya ke kubu lawan.

Namun, PKNS FC lebih bijak menyempurnakan peluang yang ada apabila serangan balas dilakukan skuad kendalian R Rajagobal pada minit ke-13 berjaya menghasilkan gol pertama menerusi pemain importnya Chan Vanthanaka.

Tersentak dengan jaringan itu, anak buah Dollah Salleh terus merencanakan serangan dan akhirnya menyamakan kedudukan pada minit ke-24 menerusi ‘orang besi’ mereka, Nwakaeme.

Bersambung babak kedua menyaksikan tuan rumah lebih banyak bertahan dan kurang melakukan serangan berbahaya bagi menguji penjaga gol Pahang, Mohd Helmi Eliza Elias.

Kesempatan itu diambil Pahang apabila Eduardo menyumbat gol kedua selepas berlaku keadaan kucar-kacir dalam kawasan kotak penalti lawan untuk kedudukan 2-1.

Usaha PKNS FC mencari sekurang-kurangnya gol penyamaan ternyata sia-sia apabila mereka dilihat sukar memecahkan pertahanan lawan sekali gus menyaksikan kedudukan kekal hingga tamat perlawanan.

Untuk rekod Pahang terus kekal menghuni tangga kedua liga dengan rekod tanpa kalah selepas mengharungi sembilan perlawanan sekali gus mengekori rapat JDT dengan perbezaan dua mata.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 April 2019 @ 11:15 PM