Reuters

VALTTERI Bottas akan memulakan perlumbaan Formula Satu (F1) ke-1,000 daripada petak utama sekaligus memastikan Mercedes berada di depan bersama rakan sepasukan, Lewis Hamilton selepas menguasai sesi kelayakan Grand Prix China, hari ini.

Pemandu Ferrari, Sebastian Vettel berada di tempat ketiga di hadapan rakan sepasukan, Charles Leclerc.

Bottas, pemandu Finland, memulakan grand prix daripada petak utama di Russia, September tahun dan pemenang GP pembuka tirai di Australia.

Dia muncul pemandu ketiga berada di petak utama selepas tiga perlumbaan musim ini.

“Pusingan (lap) OK tetapi tidak seperti saya harapkan. Nasib baik ia cukup bagus untuk petak utama,” katanya sambil tersenyum.

Bottas mempamer peningkatan sejak beberapa perlumbaan terakhir malah mengatasi kepantasan Hamilton sepanjang minggu ini.

“Lewis juga dapat banyak meningkat ketika kelayakan dan ia benar-benar rapat.”

Bottas merakam masa satu minit 31.547 saat, 0.023 di depan juara dunia kali kali dari Britain itu yang juga pemenang lima kali di Shanghai.

Bottas ketinggalan satu mata di belakang Hamilton dalam kedudukan kejuaraan dunia selepas dua perlumbaan musim ini.

Ferrari tiba di China sebagai pasukan pilihan selepas paling pantas di Bahrain dan Leclerc berada di petak utama.

Biarpun tidak mampu mencabar kepantasan Mercedes secara keseluruhan, Vettel berharap kelajuan di laluan lurus akan membantunya esok.

“Saya rasa ada lebih lagi sedikit tetapi masih tidak berupaya mengatasi Bottas dan Hamilton,” kata pemandu Jerman berusia 31 tahun itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 April 2019 @ 4:41 PM
Bottas (tengah) bersama Hamilton (kiri) dan Vettel (kanan) selepas sesi kelayakan pada GP China. FOTO EPA