Jelius mahu skuad kembali fokus. FOTO NSTP
Ryan Stanley
sukanteam@nstp.com.my


PENGENDALI Sabah, Jelius Ating, menganggap pertemuan dengan UiTM FC dalam saingan Liga Perdana di Stadium Likas, Kota Kinabalu malam esok sebagai perlawanan yang penting bagi mengembalikan semula keyakinan mereka.

Katanya, dua kekalahan berturut-turut iaitu kepada Kelantan United dalam aksi Piala FA dan Selangor United dalam saingan liga melunturkan sedikit semangat mereka namun bertekad untuk bangkit dan kembali mencari rentak kemenangan.

"Ya memang saya akui, dua kekalahan berturut-turut memberi sedikit kesan terhadap semangat pasukan, namun, saya tidak pernah berhenti untuk memberikan mereka (pemain) kata-kata semangat.

"Perlawanan esok saya anggap penting kerana di samping mahu mengukuhkan kedudukan kita dalam liga, kita juga mahu mengembalikan keyakinan kita," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Jelius berkata, perlawanan esok juga agak mencabar baginya kerana mereka terpaksa beraksi tanpa empat tonggak utama berikutan kecederaan serta penggantungan perlawanan.

"Kita akan kehilangan khidmat ketua pasukan iaitu Rawilson (Batuil) dan Azzizan (Nordin) kerana terpaksa menjalani penggantungan perlawanan selepas mereka mengumpul jumlah tiga kad kuning sebelum ini.

"Selain itu, Maxsius (Musa) juga mungkin terpaksa diketepikan akibat kecederaan selain Sabri (Sahar) yang kita sedia maklum mengalami kecederaan teruk dan mungkin akan terlepas aksi sehingga habis musim.

Pengganti Sabri sebelum ini iaitu Ricco (Nigel Milus) juga belum pasti dapat diturunkan atau tidak kerana turut cedera," katanya.

Beliau berkata, walaupun kehilangan beberapa tonggak utama, dia yakin pemain gantian yang akan beraksi esok akan mampu melaksanakan tugas mereka dengan baik.

"Ini juga sebenarnya peluang bagi pemain-pemain lain untuk membuktikan yang mereka juga layak beraksi sebagai kesebelasan utama dan saya harap mereka akan beraksi baik esok," katanya.

Jelius dijangka mengekalkan Rozaimie Rohim sebagai benteng terakhir skuad Tambadau dengan dibantu Maffry Balang yang menggantikan tempat Rawilson, Park Taesu, Randy Baruh serta Dendy Lowa di bahagian pertahanan.

Luka Milunovic pula dijangka terus mengemudi bahagian tengah dengan dibantu tiga pemain yang menggantikan tempat Azzizan, Maxsius, serta Ricco iaitu Jenius Karib, Alto Linus dan Muhammad Mohd Safar manakala dua penyerang import iaitu Luis Carlos Junior dan Rodoljub Paunovic kekal sebagai pemburu jaringan buat Sabah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 April 2019 @ 5:11 PM