Barisan pelumba meneruskan saingan di Pulau Langkawi. FOTO
Azlan Muhammad Zain
azlanmz@nstp.com.my


SELEPAS kali terakhir dipertandingkan pada 2015, perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) kini kembali ke pulau bersejarah ini.

Pelumba Bardiani-CSF, Andrea Guardini yang turut digelar Mr Langkawi mempunyai sejarah menarik apabila memenangi perlumbaan terakhir pada 2015.

Namun sehingga kini pelumba dari Itali yang sudah meraih 24 kemenangan peringkat berkenaan masih belum mampu melebarkan rekod itu.

Seramai 177 pelumba dari 22 pasukan meneruskan kayuhan pada peringkat ketujuh yang bermula dan berakhir di Pantai Cenang sejauh 106.8 kilometer.

Perlumbaan yang dijadual berakhir pada 5 petang nanti akan menawarkan tiga zon pecutan di Telaga Harbour, Nyior Chabang dan Padang Matsirat selain dua zon pendakian kategori tiga di Bukit Beringin dan Telaga Harbour.

Pasukan benua tempatan, Team Sapura Cycling (TSC) dalam landasan terbaik muncul juara Jersi Kuning PETRONAS menerusi pelumbanya, Benjamin Dyball.

Saingan turut tertumpu kepada perebutan Jersi Hijau PETRONAS selaku Raja Pecut dengan penyarungnya, Travis McCabe dari Floyd's Pro Cycling dan sandaran tempatan, Mohd Harrif Saleh dari Terengganu Inc TSG Cycling Team (TSG) yang hanya dibezakan dengan 17 mata.

Angus Lyons dari Oliver's Real Food Racing juga boleh memuktamadkan gelaran Raja Bukit bagi jersi merah sekiranya mampu menambah mata, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 April 2019 @ 3:49 PM