Syazwan Msar
mohdsyazwan@hmetro.com.my

SIDANG Kemuncak Bolasepak Dunia Asian (WFS Asia) bakal menghimpunkan lebih 2,000 pakar dalam bidang sukan terutama membabitkan bola sepak sekali gus menjadi antara platform terbaik kepada pemain industri termasuk pasukan bola sepak di negara ini untuk menimba ilmu daripada mereka.

Malah, penyertaan daripada 70 kelab bola sepak terkemuka seluruh dunia terutama membabitkan Liga Sepanyol (LA Liga) dan Liga Perdana Inggeris (EPL) mampu mengubah landskap bola sepak negara untuk lebih maju membabitkan bidang perniagaan dan sains sukan.

Ketua Pegawai Eksekutif WFS Asia Mohan Rajaratnam berkata, sidang kemuncak berkenaan yang kali pertama diadakan luar Sepanyol turut membincangkan mengenai pertukaran pemain antara kelab bola sepak dan cara untuk meraih lebih banyak penajaan yang kini menjadi antara masalah kepada pasukan bola sepak di negara ini.

“Antara individu yang akan berkongsi ilmu membabitkan presiden atau pemain terkenal yang arif dalam bidang bola sepak dan sudah tentu akan berkongsi pengalaman untuk mengukuhkan kedudukan kewangan selain program pembangunan bola sepak yang dilaksanakan oleh kelab mereka.

“Sebelum ini, sidang kemuncak terbabit hanya berlangsung di Sepanyol sejak tiga tahun lalu namun kali ini kita bawakan ke Malaysia sekali gus dijangka akan menghimpunkan lebih ramai individu atau pihak yang arif dalam bidang bolasepak,” katanya, dalam sidang media pada Majlis Pra Pelancaran WFS Asia, di sini, semalam.

Hadir sama pada majlis itu, Pengarah Sidang Kemuncak Bolasepak Dunia Jan Alessie dan Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Stuart Ramalingam.

Selain daripada pemain industri dan peserta pameran, sidang kemuncak yang berlangsung pada 29 dan 30 April turut disertai 32 atlet e-sport daripada seluruh dunia dengan mengadakan acara tertutup bagi memperkenalkan sukan baru itu.

Sementara itu, Stuart berkata, pasukan bola sepak tempatan perlu mengambil peluang menerusi program dilaksanakan penganjur persidangan terbabit untuk mempertingkatkan pembangunan bola sepak masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 April 2019 @ 9:24 PM