Lee Tuck terlepas dua perlawanan akibat kecederaan belakang. FOTO NSTP
Malik Muhamad
sukanteam@nstp.com.my


SELEPAS terpaksa berehat pada dua perlawanan terakhir akibat kecederaan, arkitek Terengganu FC (TFC), Lee Tuck mengakui tidak sabar untuk merobek gawang Kedah dalam aksi Liga Super di Stadium Darul Aman, Alor Setar, malam esok.

Pemain berdarah kacukan Malaysia-England itu sudah bersedia menebus kehampaan pasukannya ketika dimalukan pasukan kelab, PKNP FC di laman sendiri Sabtu lalu.

"Kecederaan belakang semakin baik dan tak sabar kembali membantu pasukan mengharungi saingan liga bertemu Kedah.

"Bagaimanapun, saya perlu menunggu keputusan pegawai perubatan dan barisan jurulatih sama ada saya boleh bermain, benar-benar cergas atau perlu berehat lagi," katanya.

Pada dua aksi terakhir bertemu PKNP FC dalam saingan Liga Super dan Ultimate FC pusingan kedua Piala FA, Tuck direhatkan kerana mengalami sakit belakang dan sukar bernafas.

Mengulas lanjut, bekas pemain import Negeri Sembilan itu mengharapkan rakan sepasukan bangkit memburu kemenangan selepas tumpas dua kali berturut-turut dalam saingan Liga Super kepada Selangor 0-1 dan terbaharu PKNP FC 1-2.

"Kita perlu menang dan bermain lebih baik berbanding perlawanan terdahulu bagi mengutip mata penuh selepas ketinggalan 11 mata dengan pendahulu liga JDT (Johor Darul Ta’zim).

"Rakan sepasukan juga harus kekal positif dalam saingan liga yang kian sengit, kami perlu menang ke atas Kedah untuk berada di kedudukan liga lebih baik, tetapi jika tewas pasukan boleh jatuh ke bawah liga kerana tiga mata mampu memberi perbezaan yang besar," kata Tuck.

Sementara itu pemangku ketua jurulatih, Mohamad Nik menyatakan Tuck dan Kipre Tchetche berada dalam senarai 18 pemain ke Alor Setar.

"Bagaimanapun sama ada dua pemain itu akan diturunkan atau tidak akan ditentukan esok kerana kami mahukan kemenangan untuk pulih moral dan kesetiaan penyokong," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 April 2019 @ 4:17 PM