TRAVIS MCCABE
Azlan Muhammad Zain
azlanmz@nstp.com.my


PEREBUTAN Jersi Hijau PETRONAS bagi gelaran Raja Pecut semakin rancak dengan saingan peringkat keenam Le Tour de Langkawi (LTdL) berlangsung hari ini.

Berbaki tiga peringkat, ia lebih terarah kepada Travis McCabe dari Floyd's Pro Cycling serta sandaran peminat tempatan Mohd Harrif Saleh dari Terengganu Inc TSG Cycling Team (TSG).

McCabe kini mengumpul 58 mata manakala Harrif 42 mata, hanya dibezakan 16 mata.

Juara bertahan, Andrea Guardini berada di kedudukan kelapan selepas hanya mengumpul 28 mata.

Saingan sejauh 130.8km membabitkan 118 pelumba ke Alor Setar amat sesuai kepada barisan pelumba pecut menambah mata bagi memburu gelaran Raja Pecut.

Mereka boleh cuba menguasai tiga zon pecutan di Sungai Petani, Gurun dan Pendang namun ia hanya menawarkan mata yang kecil antara lima hingga satu mata.

Namun mata yang lebih tinggi ditawarkan kepada 15 pelumba terbaik bermula dengan 15 hingga satu mata mata.

Penyarung Jersi Kuning PETRONAS dari Team Sapura Cycling (TSC), Benjamin Dyball dijangka terus mengekalkan gelaran.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 April 2019 @ 10:13 AM