HAMIDIN (kiri) bersama Sheikh Salman. — FOTO Eizairi Shamsudin
Syazwan Msar
mohdsyazwan@hmetro.com.my


PRESIDEN Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin mengumumkan melepaskan jawatan sebagai Naib Presiden Persekutuan Bolasepak Asean (AFF) selepas hanya sebulan menyandang kerusi itu.

Menerusi kenyataan di laman sosial Facebook FAM, jawatan itu yang dimenangi tanpa bertanding pada Kongres AFF di Siem Reap, Kemboja, baru-baru ini, dilepaskan selepas beliau dilantik sebagai ahli jawatankuasa eksekutif Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) bagi penggal 2019-2023 pada 6 April lalu.

“Atas dasar menghormati semangat perpaduan dalam kalangan ahli gabungan AFF, saya dengan ini memutuskan untuk melepaskan jawatan sebagai Naib Presiden AFF berkuatkuasa serta-merta.

“Susulan perbincangan dengan Presiden AFC, Sheikh Salman Ebrahim Al Khalifa dan Mejar Jeneral Khiev Sameth (Presiden AFF), keputusan diambil ini bukan saja membolehkan saya lebih fokus kepada tanggungjawab saya sebagai ahli Exco AFC malah ia membuka laluan kepada rakan negara jiran menyumbang tenaga sebagai Naib Presiden AFF,” katanya.

Selain itu, Hamidin adalah antara tiga ahli dari zon ASEAN yang dipilih sebagai Exco AFC selain Chris Nikou dari Australia dan Dr Tran Quoc Tuan dari Vietnam.

Mereka menang tanpa bertanding selepas calon dari Singapura, Winston Lee menarik diri pada saat akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 April 2019 @ 4:06 PM