EDEN HAZARD
AFP

EDEN Hazard meledak dua gol untuk memberikan kemenangan Chelsea ke atas West Ham 2-0 awal pagi tadi sekali gus melonjakkan skuad kendalian Maurizio Sarri itu ke tangga ketiga Liga Perdana Inggeris.

Laporan media terus mengaitkan perpindahan pengatur serangan Belgium itu ke Real Madrid selepas enggan menandatangani kontrak baharu di Stamford Bridge melepasi 2020.

Malah dia membuktikan bagaimana Chelsea akan merindui pemain nombor 10 mereka seandainya dia berpindah ke ibu negara Sepanyol itu dengan aksi menakjubkan, termasuk aksi solo ketika membuka jaringan.

Selepas memperoleh bola di kawasan West Ham, Hazard kemudian menewaskan tiga pertahanan lawan sebelum dengan tenang menyumbat gol melepasi Lukasz Fabianski selepas 24 minit perlawanan.

“Ia sesuatu yang istimewa,” kata Hazard.

“Saya mendapatkan bola dan kemudian cuba untuk mara. Di dalam kotak penalti agak sukar untuk pertahanan lawan mencabar saya kerana jika mereka melakukan sentuhan ia boleh menjadi penalti.

“Saya mungkin sedikit bertuah dengan jaringan itu. Saya mahu melakukan jaringan dengan pantas. Apabila saya melihat bola di jaring, saya sungguh gembira.

“Saya seorang yang bertubuh kecil jadi bagus dapat menentang pemain tinggi kerana sukar untuk mereka menukar arah.”

Pasukan tuan rumah dan Hazard perlu menunggu sehingga tamat perlawanan untuk mengesahkan tiga mata apabila berjaya mengawal bola untuk rembatan kencang yang memberikannya gol ke-19 musim ini.

Gagal menghalang kapten Belgium itu daripada terus menghukum pasukan mereka, penyokong West Ham bersorak dengan berkata “Eden Hazard, dia akan ke Madrid’.

Namun Hazard menegaskan belum memutuskan apa-apa mengenai masa depannya.

“Mereke silap. Buat masa ini saya hanya fokus kepada Chelsea sehingga akhir musim ini.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 April 2019 @ 9:51 AM