AKSI Harrif Saleh selepas tiba di garisan penamat dari Senawang ke Melaka, semalam. - FOTO ROSDAN WAHID
Azlan Muhammad Zain
azlanmz@nstp.com.my

PERSAINGAN antara Mohd Harrif Saleh dan Andrea Guardini dijangka berterusan dan menjadi tumpuan pada peringkat ketiga Le Tour de Langkawi (LTdL) hari ini.

Semalam pelumba Terengganu Inc TSG Cycling Team (TSG) itu menafikan usaha Guardini memburu kemenangan pertama di LTdL 2019 apabila menewaskan lawannya di garisan penamat pada peringkat kedua di Dataran Pahlawan.

Raja Pecut 2018, Guardini yang mewakili pasukan profesional benua, Bardani CSF terpaksa akur masih gagal melebarkan kemenangan 24 peringkat yang sudah diraihkan dalam LTdL.

Lebih menarik laluan ketiga dari Muar ke Putrajaya dilabel sesuai untuk pakar pecut seperti Harrif, Guardini dan pelumba lain apabila tiada kategori pendakian yang terlalu tinggi.

Perlumbaan sejauh 192.6km berkenaan menawarkan tiga zon pecutan di Sinpang Ampat, Lubok Cina dan Lukut denga hanya satu zon pendakian.

Jersi hijau selaku Raja Pecut yang disandang pelumba Team Sapura Cycling (TSC), Marcus Culey dijangka terlepas sekiranya beliau gagal menambah mata hari ini.

Dia kini meraih 21 mata diekori rapat Michael Freiberg dari Pro Racing Sunshine Coast dengan 20 mata manakala Harrif mengekori dengan 15 mata.

Pelumba kelahiran Australia berkenaan bagaimanapun dijangka tidak berdepan masalah mempertahankan jersi kuning pada peringkat ketiga sekiranya perlumbaan berakhir dalam kelompok besar.

Seramai 122 pelumba dari 22 pasukan akan meneruskan saingan bermula 12 tengah hari dengan perlumbaan dijangka berakhir pada 4.30 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 April 2019 @ 1:11 PM