AKSI Choupo-Moting yang tertampan bola di atas garisan gol Strasbourg. -FOTO Reuters
AFP

PARIS Saint-Germain terlepas peluang menjuarai Ligue 1 selepas hanya mampu seri 2-2 di tempat sendiri menentang Strasbourg dengan kesilapan Eric Maxim Choupo-Moting di atas garisan gol lawan menghampakan penyokong tuan rumah.

PSG berpeluang mengesahkan trofi keenam dalam tujuh musim milik mereka selepas pasukan di tangga kedua, Lille turut seri 1-1 di Reims dalam perlawanan awal.

Anak buah Thomas Tuchel tahu tiga mata di Parc des Princes memastikan kejuaraan milik mereka dengan baki lapan perlawanan sekali gus menyamai rekod skuad Laurent Blanc yang muncul juara 2016.

Choupo-Moting meletakkan PSG di depan yang juga jaringan ketiganya dalam Ligue 1 tetapi kemudiannya tertampan bola di atas garisan gol Strasbourg hasil percubaan Christopher Nkunku.

"Saya terfikir mungkin saya ‘offside’ ketika itu dan ia terjadi sangat pantas. Saya menyentuh bola itu, terkena tiang dan saya rasa sangat malu kerana sepatutnya bola itu sudah masuk. Saya minta maaf,” kata Choupo-Moting.

Strasbourg yang masih segar selepas muncul juara Piala Liga minggu lalu menyamakan kedudukan menerusi rembatan Nuno Da Costa selepas mendapat hantaran daripada sebelah kiri Lionel Carole dan mereka mengejutkan tuan rumah apabila mendahului pada minit ke-38 menerusi percubaan jarak jauh Anthony Goncalves.

Kylian Mbappe masuk sebagai pemain gantian pada babak kedua tetapi seorang lagi pemain gantian yang menyamakan kedudukan 2-2 ketika permainan berbaki lapan minit. Sepakan sudut Julian Draxler daripada sebelah kanan ditanduk masuk pertahanan Jerman, Thilo Kehrer.

Strasbourg yang turut seri menentang PSG di tempat sendiri pada Disember lalu cekal bertahan sekali gus membuatkan gergasi Perancis itu kali pertama keciciran mata di kubu mereka musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 April 2019 @ 7:56 AM