HARRIF (tengah) pelumba kedua tempatan raih podium selepas Anuar Manan pada edisi 2010.
Azlan Muhammad Zain
azlanmz@nstp.com.my


“SAYA kayuh sampai abih reng (sehabis kuat) untuk menang buat kali pertama di Le Tour de Langkawi (LTdL). Semuanya untuk diri saya dan pasukan,” kata Harrif Saleh yang mewakili Terengganu Inc TSG Cycling Team (TSG).

Dia mencetus kebanggaan negara apabila muncul pelumba pertama melintasi garisan penamat pada peringkat kedua edisi ke-24 LTdL di Dataran Pahlawan, petang semalam.

Kejayaan itu memberikan banyak makna kepada Harrif dalam melengkapkan kariernya sebagai salah seorang pelumba terbaik pernah dilahirkan negara.

“Ia kejayaan yang istimewa, saya hadiahkan kepada isteri, Nursyahira Nordin, 27, kerana tiga bulan lalu dia hamil anak sulung selepas lima tahun kami berkahwin. Justeru, saya mahu menghadiahkan sesuatu kepadanya,” katanya.

Jelas Harrif yang tampil buat kali ke-10 di LTdL, dia menggunakan semua pengalaman yang ada terutamanya ketika menduduki tempat kedua dan ketiga pada edisi-edisi sebelumnya.

“Berbaki 100 meter... saya lihat ada peluang, jadi saya cuba ‘abih reng’ (sehabis kuat) untuk menang dan ia berjaya,” katanya yang turut mengintai peringkat ketiga dari Muar ke Putrajaya, hari ini.

Lebih menggembirakan pelumba yang lebih mesra dipanggil Mamat itu, dia sudah menepati sasarannya untuk menang peringkat dan muncul pelumba tempatan kedua melakukannya selepas Anuar Manan yang menang aksi peringkat pada edisi 2010 ketika bersama Guemsan Ginseng Asia.

Catatan masa empat jam, 53 minit 20 saat di Dataran Pahlawan juga membolehkan Harrif meraih kejayaan pertamanya di jelajah bertaraf 2HC (hors class) itu selain menafikan kemenangan peringkat ke-25 Mr Langkawi, Andrea Guardini dari Bardiani CSF yang terpaksa berpuas hati di tempat kedua.

Harrif yang juga pemenang emas Sukan SEA 2015 dan 2017 itu menjelaskan tiada pantang larang dalam aspek pemakanan bagi dirinya.

“Semua saya makan... kerepok (keropok), budu. Malah pagi tadi (semalam) ketika bersarapan, saya makan nasi lemak, sambal ayam dan ikan bilis. Kita sudah diajar dengan ‘makanan berat’ sejak kecil lagi namun perlu pandai serta tahu cara mengawalnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 April 2019 @ 6:30 AM