HUMMELS melakukan tandukan ketika menentang Dortmund di Munich. - FOTO Agensi
Reuters

JUARA bertahan Bundesliga, Bayern Munich membelasah pencabar terdekat, Borussia Dortmund 5-0 di Allianz Arena awal pagi tadi sekali gus merampas takhta liga dan menghampiri rekod tujuh kejuaraan berturut-turut.

Bayern meledak empat jaringan pada babak pertama dengan dua gol dalam masa 17 minit menerusi Mats Hummels dan Robert Lewandowski manakala Javi Martinez dan Serge Gnabry turut mencetak nama sebagai penjaring sebelum rehat.

Jaringan Lewandowski meletakkan penyerang Poland itu pemain kelima dalam sejarah Bundesliga yang menjaringkan 200 gol dan pemain asing pertama melakukannya.

Tuan rumah yang seri 1-1 di Freiburg minggu lalu terus menguasai perlawanan sebaik permainan bersambung pada babak kedua sebelum Lewandowski sekali lagi menembusi gawang pada minit ke-89 dan Bayern meraih mata ke-64 dengan baki enam perlawanan, satu mata di hadapan Dortmund.

"Strategi kami menjadi. Kami menekan mereka sejak mula dengan cara menyerang dan terus menyerang,” kata jurulatih Bayern, Niko Kovac. "Kami mungkin melakukan beberapa kesilapan musim ini tetapi ia sudah berlalu.

"Banyak kritikan dilemparkan kepada pasukan ini dan itu mengapa saya sangat gembira dengan prestasi pemain saya hari ini.”

Bagaimanapun, Dortmund terlebih dahulu mencemaskan kubu tuan rumah apabila percubaan Mo Dahoud terkena tiang hasil serangan balas pantas.

Tetapi itu serangan terakhir Dortmund sebelum permainan dikuasai Bayern apabila Hummels menanduk cantik untuk gol pendahuluan pada minit ke-10.

Secara keseluruhan, Bayern mencipta 22 percubaan berbanding Dortmund yang hanya melakukan empat percubaan dan situasi menjadi lebih sukar buat mereka apabila hantaran ke belakang Dan-Axel Zagadou disambar Lewandowski pada minit ke-17 dan penjaring terbanyak Bundesliga itu melambungkan bola melepasi jangkauan penjaga gol, Roman Buerki.

Lewandowski yang menjaringkan 21 gol dalam liga musim ini muncul pemain pertama menjaringkan 200 gol sejak 1987.

Martinez menjaringkan gol ketiga menerusi rembatan di luar kotak penalti pada minit ke-41 dan Gnabry menjadikan kedudukan 4-0 menerusi tandukan sejurus sebelum rehat.

"Jelas ini pengajaran berguna kepada kami hari ini,” kata jurulatih Dortmund, Lucien Favre. "Kami perlu menerimanya. Mereka lebih pantas, agresif dan lebih mahir. Kami perlu fokus perlawanan selepas ini.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 April 2019 @ 9:32 AM