SUAREZ diraikan rakan sepasukan selepas menjaringkan gol pertama Barca. - FOTO Agensi
AFP

JARINGAN Luis Suarez dan Lionel Messi dalam masa dua minit membantu Barcelona menewaskan Atletico Madrid 2-0 di Camp Nou, awal pagi tadi sekali gus melonjakkan Barca 11 mata mengatasi pencabar terdekat.

Atletico beraksi 10 pemain pada minit ke-28 selepas Diego Costa mengherdik pengadil tetapi Barcelona gagal mengambil kesempatan sehinggalah jaringan lewat Suarez dan Messi memastikan gelaran La Liga makin hampir milik Barcelona.

Dengan baki tujuh perlawanan, Barca bagaikan sukar disekat dan mengekalkan momentum menjelang kunjungan ke Manchester United dalam aksi peringkat pertama suku akhir Liga Juara-Juara pada awal pagi Khamis ini.

"Tiga mata amat berharga,” kata jurulatih, Ernesto Valverde. "Kami makin hampir."

"Kemenangan ini mengukuhkan lagi peluang kami,” kata Suarez. "Bukan satu langkah malah dua langkah ke hadapan.”

Jurulatih United, Ole Gunnar Solskjaer turut menyaksikan perlawanan bersama pembantu Mike Phelan dan ketajaman tindakan penyudah dua penyerang berbisa Barcelona pada saat genting pasti menggusarkan mereka.

Jurulatih Atletico, Diego Simeone kesal dengan layangan kad merah Costa. “Saya tanya pengadil dan beliau berkata Costa berkata sesuatu kepadanya. Pemain lain ada juga berkata kepada pengadil tetapi tidak dihalau’ keluar. Ini tidak adil kepada Costa.”

Suarez membuka tirai jaringan hasil rembatan jarak jauh dari luar kotak penalti pada minitk ke-85 sebelum Messi yang lincah memperdayakan pertahanan lawan menambah gol kedua pada minit ke-87. Gandingan kedua-duanya sudah menjaringkan 53 gol musim ini dengan Messi mencatat kemenangan ke-335 aksi La Liga.

Hanya tuah mampu membawa semula Atletico ke dalam persaingan kejuaraan liga dengan Barcelona kini boleh merehatkan pemain mereka untuk memburu kejayaan lebih gemilang di peringkat Eropah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 April 2019 @ 7:02 AM