NWAKAEME pulang ke Nigeria selama dua minggu.
Asrol Awang
sukanteam@nstp.com.my

PENYERANG berbisa Pahang, Dickson Nwakaeme belum pasti dapat beraksi menentang PJ City FC di Stadium Darul Makmur, malam esok.

Pemain berasal dari Nigeria itu dijangka tiba di Kuantan hari ini selepas bercuti selama dua minggu bagi menyelesaikan urusan keluarga di negaranya.

Pengendali skuad Tok Gajah, Dollah Salleh berkata, buat masa ini nama Nwakaeme belum dapat diputuskan untuk disenaraikan atau tidak dalam kesebelasan utama.

"Dia tidak bersama kita (berlatih) selama dua minggu dan saya kena nilai semula prestasinya jika mahu senaraikan sebagai pemain utama. Saya dimaklumkan, Nwakaeme akan tiba hari ini dan (masa) agak suntuk juga untuk buat keputusan (menyenaraikan) dia dalam pasukan.

"Seorang lagi pemain import, Saddil Ramdani sudah kembali bersama menjalani latihan dengan rakan sepasukan lain sejak awal minggu ini. Dia menyertai skuad kebangsaan Indonesia minggu lalu dan terlepas aksi menentang FELDA United," katanya.

Walaupun tanpa Nwakaeme, Dollah tetap yakin dengan persembahan anak buahnya melayan kunjungan pasukan PJ City FC.

"Kita perlukan khidmat Nwakaeme tapi jika dia tidak bersedia untuk turun (beraksi) malam esok, saya rasa kita tidak ada masalah untuk bermain dengan baik. Paling penting ialah tiga mata dan gunakan kelebihan beraksi di laman sendiri.

“Kita perlu menang jika mahu merampas kembali kedudukan teratas Liga Super," katanya. katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 April 2019 @ 1:29 PM