DHAARMA teruja kali pertama pasukan kuat hadir untuk aksi persahabatan. — FOTO Arena Hoki
Saiful Affendy Sapran
saifulaffendy@hmetro.com.my


MESKIPUN berpuas hati di sebalik kekalahan 0-3 pada perlawanan ujian pertama dengan India, ketua jurulatih skuad hoki wanita negara, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah tidak mahu pemainnya mempamerkan prestasi mendatar.

Sebaliknya beliau menuntut usaha lebih daripada anak buahnya bagi baki empat perlawanan selepas ini terutamanya pada siri perlawanan ujian kedua esok.

“Saya percaya mereka dapat mempamer aksi lebih baik. Kami perlu dapatkan sekurang-kurangnya keputusan seri pada baki empat perlawanan selepas ini,” katanya.

Dhaarma meletakkan penanda aras tinggi untuk India, pasukan yang menduduki ranking kesembilan dunia serta terbaik Asia.

“Jika kami boleh kalahkan India, bermakna peluang kami lebih besar pada Pusingan Akhir Siri FIH di Dublin, Jun depan.

“Sepanjang di bawah kendalian saya, inilah kali pertama pasukan berkualiti hadir ke sini untuk mengadakan perlawanan persahabatan.

“Kebiasaannya kami hanya mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan seperti Hong Kong, Taiwan atau pasukan kelab.

“Jadi peluang seperti ini perlu dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh setiap pemain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 April 2019 @ 7:19 PM