Steven Sim Chee Keong (tengah) menyaksikan simbolik memeterai kerjasama antara Human Voyage, diwakili Ahmad Mustafa (dua kiri) dengan Kay Prakash (dua kanan) pada Majlis Pengumuman Genting Malaysia Berhad sebagai penaja rasmi perlumbaan. FOTO Luqman Hakim Zubir.
Meor Riduwan Meor Ahmad
mriduwan@hmetro.com.my


PERLUMBAAN basikal berprestij, Le Tour de Langkawi (LTdL) 2019 yang memasuki edisi ke-24 diperhebatkan lagi dengan kemasukan semula Genting Malaysia Berhad sebagai penaja rasmi.

Penajaan berupa wang tunai, barang dan perkhidmatan bernilai RM1 juta itu menyusul selepas pusat peranginan terkemuka Resort World Genting bersetuju menjadi laluan LTdL tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Human Voyage, Datuk Ahmad Mustafa berkata, perlumbaan di Genting Highlands menjanjikan cabaran hebat kerana menuntut tahap kecergasan tertinggi pelumba.

"Resort World Genting satu tarikan hebat dan menjadi sebutan dunia terutama kalangan pelumba yang pernah mengharungi keperitan pendakian lebih 1,700 meter.

"Pakar-pakar mendaki terbaik dunia dari Eropah, Amerika Selatan dan Asia sendiri mengakui hakikat ini dan menyebarkan kehebatan Genting Highlands kepada dunia," katanya berucap pada majlis pengumuman penajaan itu di Kementerian Belia dan Sukan di Putrajaya hari ini.

Simbolik memeterai kerjasama antara Ahmad dengan Naib Presiden Perhubungan Korporat & Komunikasi Genting Malaysia Berhad, Datuk Seri Kay Prakash disaksikan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee Keong.

Kerjasama antara Genting Malaysia Berhad dengan LTdL bermula sejak 1996 lagi apabila menyumbang lebih RM13 juta bagi menjayakannya selain menjadi tuan rumah acara itu sebanyak 18 kali.


Naib Presiden Perhubungan Korporat & Komunikasi Genting Malaysia Berhad, Datuk Seri Kay Prakash.

Sementara itu, Kay berkata, sebagai pusat pelancongan ulung, Resort World Genting berbangga dapat bekerjasama dalam perlumbaan antarabangsa seperti LTdL.

"Selepas empat tahun tidak terbabit dengan acara ini, kami berbesar hati untuk sekali lagi jadi tuan rumah bagi peringkat 'Queen Stage'.

"Apatah lagi biasanya pemenang peringkat perlumbaan di Genting juga berkemungkinan besar jadi pemenang keseluruhan," katanya.

Perlumbaan LTdL di Resort World Genting bagi Peringkat 4 berlangsung 9 April dari Shah Alam membabitkan jarak 115km.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 April 2019 @ 8:02 PM