Nazirul (depan) meraikan gol jaringannya ketika bertemu pasukan Negeri Sembilan. FOTO BERNAMA
Shamsul Kamal
shaka@nstp.com.my


KEMENANGAN tipis 2-1 diperolehi Perak dalam perlawanan pusingan kedua Piala FA membuktikan ketumpulan bahagian serangan juara Piala Malaysia itu masih belum diatasi.

Malah, pasukan tuan rumah hampir dihukum Negeri Sembilan yang menunjukkan kesungguhan untuk memalukan The Bos Gaurus (TBG) di laman sendiri sebelum Shahrel Fikri Md Fauzi meledak gol meranapkan impian pelawat di Stadium Perak, Ipoh, malam tadi.

Perak mendapat gol menerusi Nazirul Naim m-40 dan Shahrel Fikri m-78 manakala Negeri Sembilan menerusi Jose Almir Barros m-67.

Jurulatih TBG, Mehmed Durakovic mengakui Perak seharusnya boleh menang dengan jaringan lebih besar kerana banyak peluang berjaya dicipta dan menguasai permainan.

"Sepatutnya kita boleh menjaringkan dua atau tiga gol lagi tetapi inilah bola sepak.

Perlawanan Piala FA berbeza, bukan mudah, mana-mana pasukan boleh menang, kita boleh dihukum pada minit-minit terakhir dan kami dihukum dengan set-piece (jaringan penyamaan Negeri Sembilan), sebelum kami berjaya buat `comeback'.

"Kami berhak berhak menang dengan jurang besar tapi menang 2-1 memadai. Saya gembira dengan persembahan pemain terutama Shahrel Fikri yang kembali bermain dan menemui penyudah selepas mengalami kecederaan sebelum ini," katanya.

Durakovic turut memuji aksi Nazirul Naim Che Hashim dan tidak hairan dengan kemampuannya menjaringkan gol dibuktikan menerusi jaringan pendahuluan untuk Perak.

Katanya, pertahanan kebangsaan itu adalah pemain gigih sentiasa membantu menggempur kubu lawan, mempunyai sepakan kaki kiri yang baik dan berkemampuan menjaringkan gol menerusi sepakan percuma.

Beliau berkata, kemasukan J Partiban pada babak kedua turut mengkucar-kacirkan pertahanan lawan daripada bahagian sayap kanan.

"Dia (Partiban) memiliki kelajuan, lincah, dia semakin baik dari masa ke semasa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 April 2019 @ 2:37 PM