Suffian akui Pahang tidak pandang rendah kemampuan lawan. FOTO NSTP
Asrol Awang
sukanteam@nstp.com.my


SKUAD Pahang tidak memandang mudah bertemu PIB FC pada pusingan kedua Piala FA di Stadium Darul Makmur, Kuantan, malam esok. 

Biarpun skuad kendalian Dollah Salleh dilihat tidak menghadapi masalah untuk menewaskan kelab amatur itu, displin dan komitmen pemain Tok Gajah menjadi keutamaan. 

Justeru, pengurus Tok Gajah, Datuk Mohammed Suffian Awang berkata, skuad itu perlu memanfaatkan segala peluang ada untuk mencatat kemenangan. 

"Bermain dengan pasukan dianggap kerdil seperti PIB kerana bersaing dalam Liga M4, pemain Pahang tidak boleh bersikap sambil lewa atau memandang rendah keupayaan lawan. 

"Saya jangkakan lawan akan memberi tentangan sengit kerana mereka dibarisi pemain muda dan masing-masing mahu menunjukkan bakat yang ada. 

"Oleh itu, displin sepanjang tempoh perlawanan perlu diterapkan untuk memastikan misi mempertahankan Piala FA musim ini menjadi kenyataan," katanya. 

Ditanya Pahang kemungkinan tidak menyenaraikan kesebelasan utama untuk perlawanan itu, Mohammed Suffian berkata, segalanya bergantung kepada percaturan Dollah. 

Katanya, ini kerana skuad Tok Gajah juga memerlukan rehat kerana akan melayan kunjungan PJ City FC, Ahad ini. 

"Sudah pasti pemain memerlukan tempoh rehat secukupnya dan kemungkinan pemain sebelum ini berada di bangku simpanan akan diberi tanggungjawab," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 April 2019 @ 3:44 PM