Pelumba Itali dari Petronas Yamaha SRT, Franco Morbidelli bermula baik di Grand Prix Argentina. FOTO EPA.
BERNAMA

PELUMBA Petronas Yamaha Sepang Racing Team (Petronas Yamaha SRT), Franco Morbidelli akan bermula di baris kedua Grand Prix Argentina awal pagi esok.

Pelumba MotoGP dari Itali itu mencatatkan satu minit 38.886 saat di tempat keenam sesi kelayakan awal pagi tadi.

Rakan sepasukannya Fabio Quartararo dari Perancis di tempat ketujuh selepas mencatat 1:38.897s.

Sementara itu, pelumba Team Repsol Honda, Mark Marquez menduduki petak utama, mencatatkan masa terpantas 1:38.304s diikuti Maverick Vinales daripada Monster Energy Yamaha di petak kedua dengan catatan 1:38.458s dan Andrea Dovizioso daripada Mission Minnow Ducati mencatat 1:38.468s di petak ketiga.

Bagaimanapun, pelumba MotoGP Malaysia, Hafizh Syahrin Abdullah yang mewakili Red Bull KTM Tech 3 akan bermula di kedudukan ke-21 selepas mencatat 1:40.053s sementara pelumba Moto2 negara, Khairul Idham Pawi daripada Petronas Sprinta Racing akan bermula dari petak ke-25 selepas mencatat 1:44.037s.

Bagi perlumbaan Moto3, Ayumi Sasaki dari Jepun yang mewakili pasukan dari Malaysia Petronas Sprinta Racing akan bermula dari petak kesembilan selepas mencatat masa 1:49.309s dan rakan sepasukannya dari Britain, John Mcphee mencatat 1:49.459s untuk bermula dari petak ke-11.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mac 2019 @ 7:16 PM