Firdaus Hashim
firdaushashim@nstp.com.my


IMPIAN Syahmi Safari untuk melihat jaringan cantiknya bersaing bersama ratusan gol sepanjang tahun ini akhirnya tercapai apabila Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan sudah mengemukakan nama pemain Selangor itu kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) untuk dicalonkan bagi Anugerah Puskas 2019.

Menurut Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam, pihaknya sudah mencadangkan kepada FIFA supaya jaringan pemain berusia 21 tahun itu menerusi sepakan jarak jauh dapat tersenarai sebagai calon anugerah itu.

Jaringan pemain kebangsaan kelahiran Kuala Selangor itu dibuat menerusi satu gerakan berpasukan pada minit ke-28 ketika perlawanan bertemu Thailand di Stadium Rajamangala, Bangkok pada 5 Disember tahun lalu.

Keunikan gol Syahmi terhasil menerusi tujuh hantaran melibatkan tujuh pemain bermula daripada penjaga gol, Mohd Farizal Marlias, sebelum disudahkan dengan sepakan kaki kanan pemain itu.

FAM turut melampirkan salinan video gol terbabit untuk dinilai oleh FIFA.

"Ia kami (FAM) dan hantar tapi tidak ada apa-apa maklum balas dari FIFA lagi," katanya pada sidang media mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM kali ketujuh bagi penggal 2017-2021 di Kuala Lumpur.

Berdasarkan keunikan gol berkenaan, FAM yakin ia akan berjaya tersenarai sebagai satu daripada 10 calon gol tercantik dunia, sekali gus melakar sejarah sebagai pemain kedua dari Malaysia selepas Faiz Subri yang kemudiannya memenangi anugerah berkenaan pada 2016.

Jelas Stuart lagi, badan induk bola sepak tanahair itu turut teruja menanti keputusan FIFA dan sekiranya tersenarai dalam 10 terakhir FAM akan mula melancarkan kempen kepada peminat untuk bersama-sama mengundi Syahmi.

"Bila keluar senarai pendek (nama Syahmi tersenarai) dari FIFA, baru kita akan mulakan mengundi tapi sekarang belum lagi.

Apabila FIFA mengesahkan kepada FAM nanti, kita akan umumkan dan penyokong dah boleh mengundi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mac 2019 @ 3:00 PM
Stuart (kanan) sahkan FAM sudah menghantar gol Syahmi ke FIFA untuk dicalonkan. FOTO NSTP