Megat Zulkarnain (kiri) bersama pesilat Putra dan Putri Terbaik Kejuaraan Silat Kebangsaan Mohamad Hafiz Halim dan Nur Syafiqah Hamzah di Kuantan. FOTO ASROL AWANG
Asrol Awang
sukanteam@nstp.com.my


PERSEKUTUAN Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) mengesahkan Malaysia dipilih selaku tuan rumah Kejuaraan Silat Dunia Ke-19, tahun depan. 

Setiausaha Agung PESAKA, Datuk Megat Zulkarnain Omardin, berkata beliau bersama kempimpinan PESAKA akan ke Jakarta, Indonesia hari ini untuk menerima surat pengesahan Malaysia sebagai tuan rumah. 

"Setakat ini, PESAKA sudah menerima dua tawaran, masing-masing dari Pahang dan Sarawak yang ingin menganjurkan Kejuaraan Silat Dunia di negeri mereka pada tahun depan. 

"Kali terakhir Malaysia menjadi tuan rumah ialah pada 2007 yang berlangsung di Kuantan, Pahang.

Oleh itu, PESAKA akan berbincang untuk memilih sama ada diadakan di Semanjung atau Borneo. 

"Dari segi persediaan, Malaysia bersedia untuk menganjurkan kejuaraan itu yang menghimpunkan pesilat terbaik," katanya. 

Megat Zulkarnain berkata pada majlis penutup Kejuaraan Silat Kebangsaan Ke-19 yang berlangsung di Kompleks Sukan Pahang (SUKPA) di Kuantan, semalam. 

Pada kejuaraan itu, Selangor muncul johan selepas mengutip lima pingat emas, tujuh perak dan lima gangsa. 

Naib johan milik Pahang dengan empat emas, tiga perak dan tiga gangsa manakala ketiga, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang membawa pulang tiga emas, tiga perak dan tiga gangsa.  Pesilat Putra dan Putri Terbaik, masing-masing diraih oleh Mohamad Hafiz Halim dari Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia dan Nur Sya fiqah Hamzah (Pahang). 

Mengulas pesilat yang muncul johan setiap kategori kejuaraan itu, Megat Zulkarnain mengesahkan pemenang bakal berentap dengan pesilat negara yang dijadualkan Julai depan. 

Katanya, pertarungan itu bagi menilai prestasi sebelum diserapkan dalam skuad kebangsaan terutama persediaan menghadapi Sukan SEA Filipina, penghujung tahun ini. 

"PESAKA juga akan menilai pesilat yang muncul naib johan sama ada mereka akan dipilih untuk beraksi dengan pesilat negara berdasarkan kriteria ditetapkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mac 2019 @ 2:23 PM