Pemain Sabah, Luka Milunovic (kiri) cuba menewaskan penjaga gol Pulau Pinang, Muhammad Hazrull Hafiz Zulkifly dalam perlawanan Liga Perdana di Stadium Likas. FOTO Khairull Azry Bidin.
Ryan Stanley
sukanteam@nstp.com.my


LUIS Carlos Junior muncul wira Sabah apabila menjaringkan dua gol sekali gus membantu pasukannya menang 2-0 dalam aksi Liga Perdana di Stadium Likas, Sabah, malam ini.

Sabah tidak perlu menunggu lama untuk memperolehi gol pertama apabila tandukan Junior hasil hantaran sepakan sudut Sabri Sahar pada minit ke-3 terus menerjah jaring untuk menjadikan kedudukan 1-0.

Perlawanan selepas itu dilihat seimbang namun pasukan pelawat lebih banyak membahayakan pintu gol Sabah dan jika bukan kerana ketangkasan penjaga gol mereka, Rozaimie Rohim, skuad kendalian Jelius Ating mungkin sudah dibolosi.

Babak kedua permainan Sabah lebih garang dengan beberapa serangan bahaya dan berjaya memperolehi gol kedua menerusi Junior pada minit ke-52.

Gol berpunca hasil gerakan Rodoljub Paunovic yang kemudian disudahkan dengan baik oleh Junior bagi menjadikan kedudukan 2-0.

Pada minit ke-71, Sabah hampir menambah jaringan namun tandukan Paunovic hasil hantaran Maxsius sekadar singgah di net tepi pintu gol Pulau Pinang.

Kedudukan 2-0 kekal sehingga wisel penamat dibunyikan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mac 2019 @ 11:20 PM