Kontinjen Selangor muncul johan keseluruhan Kejuaraan Silat Kebangsaan Ke-19. FOTO Asrol Awang.
Asrol Awang
sukanteam@nstp.com.my


KONTINJEN Selangor muncul johan keseluruhan Kejuaraan Silat Kebangsaan Ke-19 yang menutup tirainya di Kompleks Sukan Pahang (SUKPA), Kuantan, hari ini.

Kontinjen Selangor meraih lima emas, tujuh perak dan lima gangsa diikuti Pahang yang mengumpul empat emas, tiga perak dan tiga gangsa manakala Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memenangi tiga emas, tiga perak dan tiga gangsa.

Semua pesilat yang meraih emas - masing-masing 18 atlet silat olahraga dan lapan silat seni - akan bertarung dengan pesilat kebangsaan yang dijadualkan diadakan pada Jun ini.

Pertarungan itu untuk menilai sama ada johan Kejuaraan Silat Kebangsaan mampu menewaskan pesilat negara atau tidak dan label selaku atlet negara bakal menjadi taruhan.

Pada kejuaraan kali ini, Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) mengesahkan 610 pesilat daripada 21 kontinjen hadir bagi merebut 26 pingat emas yang dipertandingkan.

Buat kali pertama, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menghantar pesilat mereka selain ATM serta tiga badan persendirian dan ahli gabungan PESAKA.

Tiga badan berkenaan ialah Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia (PSSLM), Pertubuhan Seni Silat Gayong Malaysia (PSSGM) dan Pertubuhan Seni Silat Pusaka Gayong Malaysia (PSSPGM).

Majlis penutup kejuaraan disempurnakan Setiausaha Agung PESAKA, Datuk Megat Zulkarnain Omardin.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mac 2019 @ 8:41 PM