FAIZ (kanan) diasak pemain TFC, Khairu Azrin Khazali pada aksi Liga Super di Stadium Shah Alam, malam ini. — FOTO Roslin Mat Tahir
Firdaus Hashim
firdaushashim@nstp.com.my


BADI tanpa kemenangan dalam tiga aksi di Stadium Shah Alam akhirnya berjaya ‘dibuang’ apabila Selangor meraih tiga mata selepas menewaskan Terengganu FC 1-0 pada aksi Liga Super, malam ini.

Lebih penting, ia kemenangan kedua skuad Red Giants musim ini selepas merakam kemenangan sulung ketika menumbangkan Kuala Lumpur 3-2 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras pada 10 Mac lalu.

Malah, hasil keputusan positif itu menyaksikan anak buah B Sathianathan memperbaiki kedudukan dalam liga apabila kini mengumpul sembilan mata daripada tujuh aksi.

Pada aksi malam ini, tuan rumah yang kehilangan pemenang Kasut Emas musim lalu Rufino Segovia susulan kecederaan menguasai hampir keseluruhan penguasaan bola dengan sering melancarkan serangan ke kubu pelawat.

Begitupun, skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim jelas bijak menyerap asakan penyerang tuan rumah yang diketuai Amri Yahyah hingga menyaksikan kedua-dua pasukan terpaksa masuk ke bilik persalinan tanpa sebarang gol buat menamatkan babak pertama 0-0.

Bagaimanapun, bersambung babak kedua, pemain kebangsaan Faiz Nasir berjaya meledak gol tunggal perlawanan selepas tenang menyempurnakan hantaran lintang K Prabakaran buat membantu Selangor mendahului 1-0 pada minit ke-55.

Ia juga gol sulung Faiz bersama Selangor selepas meninggalkan skuad Penyu awal musim ini dan jaringan itu kekal hingga ke wisel penamat.

Selepas ini Selangor akan bertandang ke Stadium Hang Jebat, Melaka manakala Terengganu FC menerima kunjungan PKNP FC di Kuala Terengganu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mac 2019 @ 11:08 PM