ZIDANE seorang jurulatih yang suka berterus-terang. — FOTO Reuters
Reuters

PEMAIN Real Madrid berasakan mereka seperti memenangi trofi susulan kembalinya Zinedine Zidane ke kelab itu selepas bergelut 10 bulan berikutan pemergiannya, kata pemain pertahanan Alvaro Odriozola.

Zidane meletak jawatan sebagai jurulatih Madrid, Mei lalu selepas memenangi trofi Liga Juara-Juara buat kali ketiga berturut-turut, namun warga Perancis itu membuat pusingan-U awal bulan ini apabila Santiago Solari dipecat.

Ia kurang lima bulan selepas Julen Lopetegui turut dipecat berikutan keputusan mengecewakan.

Juara Eropah itu, yang tersingkir daripada Liga Juara-Juara tahun ini pada pusingan 16 terakhir oleh Ajax Amsterdam selepas kalah 1-4, meraih kemenangan moral 2-0 ke atas Celta Vigo pada aksi pertama Zidane kembali.


GARETH Bale (kiri) masih menjadi sandaran Zidane. — FOTO Reuters

Mereka berazam untuk meneruskan perasaan positif susulan kepulangannya apabila menanti kunjungan Huesca, Ahad ini.

“Kepulangan Zidane memulihkan harapan peminat dan buat kami ia seperti memenangi trofi, kami terlalu gembira,” kata Odriozola dalam satu temu ramah dalam laman web La Galerna.

“Kami bercakap mengenai apa yang beliau suka mengenai permainan saya dan kelemahan saya, ‘Zizou’ sering kali memberitahu anda apa yang sebenarnya dan pemain menghargai kejujuran sebegitu.”

Madrid ketinggalan 12 mata di belakang pendahulu La Liga Sepanyol, Barcelona dan tidak mempunyai prospek memenangi trofi musim ini selepas turut terkandas pada separuh akhir Piala Raja Sepanyol di tangan Barca.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mac 2019 @ 12:38 AM