RENAN Alves (kanan) atau dikenali sebagai Mat Nan tidak boleh beraksi apabila Kedah menentang JDT malam esok. — FOTO Shahrizal Md Noor
BERNAMA

DUA pemain import dan seorang pemain tempatan dikenakan hukuman gantung dua perlawanan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) atas kesalahan bertindak liar pada perlawanan Liga Super musim ini.

Tiga pemain itu adalah pertahanan import Kedah, Renan Alves, penyerang import PKNS FC, Kpah Sherman dan pemain PKNP FC, Sukri Hamid.

Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Baljit Singh Sidhu dalam satu kenyataan hari ini berkata, hukuman penggantungan itu dilakukan di bawah Artikel 50.1(d) dibaca bersama dengan Artikel 18.4 Kod Tatatertib yang diputuskan pada mesyuarat semalam.

Beliau memaklumkan tiga pemain itu digantung dua perlawanan termasuk satu perlawanan secara automatik, selain turut diberi amaran keras dan hukuman lebih berat sekiranya mengulangi kesalahan sama.

Renan didapati bersalah menghentak kepalanya ke kepala pemain PKNS FC, Faizat Ghazali pada perlawanan di Alor Setar, 2 Mac lalu.

Sherman pula didapati bersalah selepas bertindak menyiku dada pemain import PKNP, Amani Aguinaldo pada perlawanan di Shah Alam, 23 Februari lalu.

Manakala Sukri dikenakan tindakan selepas dia didakwa menolak pemain Johor Darul Ta’zim, Nazmi Faiz Mansor hingga terjatuh pada pertemuan di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, 9 Mac lalu.

Dalam perkembangan lain, Baljit memaklumkan Persatuan Bolasepak Sarawak didenda RM2,500 selepas didapati bersalah melanggar Artikel 70.1 Kod Tatatertib atas dua kesalahan penyokong pasukan itu membakar suar.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mac 2019 @ 7:24 PM