Pemain India, Shilanand Lakra cuba melepasi penjaga gol Kanada, Antoni Kindler saingan Hoki Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh. FOTO Effendy Rashid.
BERNAMA

INDIA hanya selangkah ke final Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah selepas membelasah Kanada 7-3 di Stadium Azlan Shah, Ipoh, hari ini.

Semangat India untuk menjulang kejuaraan kali keenam tidak dapat dihalang Kanada apabila pasukan di tangga kelima dunia itu menyumbat empat gol sebelum tamat separuh masa pertama.

Varun Kumar menjaringkan gol pertama India pada minit ke-12 menerusi pukulan sudut penalti diikuti Mandeep Singh yang menyumbat hatrik pada minit ke 20, 27 dan 29 melalui gol padang.

Jaringan Mark Pearson pada minit ke-35 sedikit memberi harapan kepada Kanada untuk bangkit, namun Amit Rohidas berjaya menyumbat gol kelima India pada minit ke-39 menerusi pukulan sudut penalti.

Biarpun ketinggalan jauh, Kanada dilihat tidak berputus asa untuk memberi tentangan kepada India sehingga menghasilkan dua jaringan menerusi Fin Boothroyd dan James Wallece masing-masing pada minit ke-50 dan 57 hasil gol padang serta pukulan sudut penalti.

Gol keenam dan ketujuh India dijaringkan oleh Vivek Prasad serta Nilakanta Sharma pada minit ke-55 dan 58 menerusi gol padang.

Dengan kemenangan itu, India berjaya mengumpul 10 mata selepas mengharungi empat perlawanan dengan tiga menang dan seri sekali.

India diramalkan mudah menambah tiga lagi mata apabila menentang Poland, Jumaat ini.

Dalam satu lagi perlawanan sebelum itu, Jepun mengalahkan Poland 3-0.

Shota Yamada, Kentaro Fukuda dan Hirotaka Wakuri menjaringkan gol padang masing-masing pada minit ke 20, 30 dan minit ke-40.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mac 2019 @ 10:32 PM