MUN Yee (kiri) ketika bergandingan dengan Dhabitah.
Ferzalfie Fauzi
ferzalfie@mediaprima.com.my


Kuala Lumpur: Selepas dibahagikan kepada dua skuad, penerjun negara, Leong Mun Yee diletakkan di bawah bimbingan Christian Brooker dengan harapan prestasinya mampu meningkat hasil latihan ala Barat.

Menurut penerjun berusia 35 tahun itu, dia baru dua minggu berada sepenuhnya di bawah bimbingan Brooker dan corak latihannya juga berbeza kerana sebelum ini lebih terarah kepada cara latihan dari China.

“Setakat ini semuanya berjalan lancar kerana saya betul-betul berada di bawah bimbingannya dalam tempoh dua minggu,” katanya ketika dihubungi Arena Metro semalam.

Menurut pemenang pingat gangsa Kejohanan Dunia 2009 itu, sasaran utamanya berada di bawah jurulatih berkenaan adalah untuk mempertingkatkan lagi prestasinya.

“Saya harap prestasi saya boleh meningkat di bawah kendalian Brooker. Sebelum ini memang saya berlatih mengikut corak latihan China dan sekarang saya ingin mencari kelainan berada di bawah bimbingan jurulatih mat salih.

“Bagaimanapun, saya akui memang kita sangat memerlukan bantuan Li Rui dari China, kerana kita memang kekurangan jurulatih. Saya harap gandingan Brooker dan Li Rui ini mampu membentuk pasukan terbaik,” kata Mun Yee.

Penerjun kelahiran Perak itu juga mengakui walaupun dia berada di bawah Brooker, tidak semestinya Li Rui akan melepaskan tangan begitu saja.

“Jika Brooker sibuk dan ketika itu menumpukan perhatian kepada penerjun lain, Li Rui akan memantau latihan saya. Bagi saya ini adalah satu kerjasama yang baik,” katanya.

Li Rui yang hadir ke Malaysia dua minggu lalu mengikat kontrak selama dua tahun dengan Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM).

ASUM juga membahagikan kepada dua skuad untuk kedua-dua jurulatih berkenaan membimbing 20 penerjun senior negara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mac 2019 @ 7:00 AM