PEMAIN Malaysia, Nik Akif Syahiran diasak pemain China, Hu Jinghang (kiri) di Stadium Shah Alam. - FOTO Sairien Nafis
Ferzalfie Fauzi
ferzalfie@mediaprima.com.my

IMPIAN skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara layak ke Kejuaraan AFC B-23 2020 Thailand tidak kesampaian apabila tidak berada dalam kedudukan empat pasukan tempat kedua terbaik kumpulan selepas berakhir kesemua aksi kelayakan sehingga awal pagi tadi.

Seri 2-2 menentang China dalam aksi terakhir perlawanan kelayakan Kumpulan J di Stadium Shah Alam semalam gagal membantu skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee untuk merebut empat slot berkenaan. Bantuan diharapkan dalam aksi Filipina menentang Laos pada sebelah petang semalam juga tidak kunjung tiba apabila pasukan bimbingan V Sundrammoothy itu bangkit daripada ketinggalan 0-2 di separuh masa pertama untuk mencatat kemenangan 3-2.

Dalam masa sama slot kelima dengan harapan Thailand berjaya muncul juara Kumpulan K juga tidak berlaku apabila negara jiran itu tumpas 0-4 kepada Vietnam.

Selepas berakhir aksi kelayakan awal pagi tadi, Malaysia hanya menduduki tempat ketujuh kedua terbaik kumpulan dan keempat-empat slot berkenaan berjaya direbut Australia, Iran, Syria dan Arab Saudi. Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan pasukan negara gagal mengulangi pencapaian dua tahun lalu dengan memuatnaik status pada jam 1.30 pagi walaupun ketika itu aksi Kumpulan D membabitkan Emirayah Arab Bersatu (UAE) menentang Arab Saudi belum berakhir.

Dalam aksi semalam, Malaysia hampir melayakkan diri secara automatik apabila mendahului 2-1 namun enam minit sebelum perlawanan tamat pasukan bimbingan Guus Hiddink itu berjaya menjaringkan gol penyamaan melalui tandukan Jiang Shenlong.

Malaysia berada di depan pada minit ke-10 hasil gol sendiri Zhu Chenjie namun pemain yang pernah dipinjamkan ke Werder Bremen, Zhang Yuning menyamakan kedudukan enam minit kemudian.

Bagaimanapun, Malaysia kembali di depan pada minit ke-54 hasil jaringan Danil Haqim Draman sebelum impian untuk layak secara automatik berkubur selepas gol penyamaan Jiang Shenlong.

Australia muncul pasukan kedua terbaik apabila berjaya mengikat Korea Selatan 2-2 pada aksi terakhir Kumpulan H, manakala Iran pula seri tanpa jaringan menentang Iraq (Kumpulan C).

Syria mara menjadi pasukan kedua terbaik Kumpulan E apabila mereka seri 1-1 ketika bertemu Jordan, manakala slot kedua terbaik terakhir diisi Arab Saudi dibantu dengan seri 1-1 menentang juara Kumpulan D, UAE.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mac 2019 @ 6:37 AM