AKSI Barkley menjaringkan gol keduanya ketika menentang Montenegro di Stadium Podgorica City. - FOTO Reuters
AFP

ENGLAND meneruskan permulaan sempurna kelayakan Euro 2020 dengan membelasah Montenegro 5-1 dengan Ross Barkley menjaringkan dua gol, awal pagi tadi.

Bagaimanapun, dalam perlawanan berlangsung di Stadium Podgorica City itu pasukan tuan rumah terlebih dahulu mengejutkan pelawat menerusi jaringan Marko Vesovic namun anak buah Gareth Southgate yang seri dua perlawanan di Macedonia sebelum ini menunjukkan mengapa mereka antara calon juara Eropah tahun hadapan.

Tandukan Michael Keane menyamakan kedudukan sebelum dua jaringan Barkley pada setiap babak diikuti gol Harry Kane dan Raheem Sterling menambah derita tuan rumah.

England kini mengukuhkan cengkaman Kumpulan A dengan enam mata dan sepuluh jaringan daripada dua perlawanan.

Skuad muda Southgate terus membalas kepercayaan dengan pemain berusia 18 tahun, Callum Hudson-Odoi dan Declan Rice, 20, tersenarai dalam kesebelasan utama England buat pertama kali.

Vesovic menceriakan penyokong tuan rumah pada minit ke-18 apabila dia meloloskan diri daripada kawalan Keane dan melakukan rembatan cantik menewaskan penjaga gol England, Jordan Pickford.

England yang tidak biasa ketinggalan sejak akhir-akhir ini kembali temui momentum sekali gus menunjukkan peningkatan tahap kematangan skuad muda Three Lions.

Barkley yang menyertai pasukan pada saat akhir pantas mencuri peluang dengan jaringan pertama antarabangsanya sejak 2015.

Keane menebus kesilapan dengan menyamakan kedudukan menerusi tandukan selepas menerima hantaran Barkley pada minit ke-30 bagi meredakan tekanan dihadapi England.

Sembilan minit kemudian, Barkley menolak bola masuk daripada jarak dekat selepas mendapat hantaran Hudson-Odoi dalam kotak penalti.

Hudson-Odoi hampir menjaringkan gol dalam penampilan pertamanya bersama England namun dihampakan penjaga gol tuan rumah Danijel Petkovic pada babak kedua perlawanan.

Bagaimanapun, tiga jaringan lagi menerusi Barkley, Kane dan Sterling melengkapkan permulaan cemerlang England dalam kempen kelayakan selepas membelasah Republik Czech, Sabtu lalu.

Sterling yang menjaringkan hatrik di Wembley ketika menentang Czech sekali lagi memainkan peranan menerusi hantarannya yang disempurnakan Barkley.

Pemain sayap Manchester City itu kemudiannya mengetuai serangan balas pantas dengan melorongkan bola kepada Kane dan kapten England itu mudah menolak bola masuk untuk jaringan antarabangsa ke-22nya.

Sterling melengkapkan pesta gol England dengan tenang menyudahkan hantaran Jordan Henderson pada minit ke-80 unttuk jaringan keenam dalam empat aksi terakhirnya bersama England.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mac 2019 @ 7:27 AM