Li Rui mahu bantu peringkat akar umbi. FOTO NSTP
Ferzalfie Fauzi
ferzalfie@mediaprima.com.my


JURULATIH terjun negara, Li Rui mengakui pengalaman membimbing penerjun Kanada selama dua tahun akan diadun dengan corak latihan China, sebagai senjata utamanya dalam membentuk skuad terbaik.

Menurut jurulatih dari China itu, buat masa sekarang beliau tidak hanya menumpukan kepada persiapan menjelang Sukan Olimpik Tokyo tahun depan tapi perlu juga memanatu latihan harian dari masa ke semasa.

"Sebaik tiba di Malaysia, saya melihat secara keseluruhan dan dalam masa sama cuba untuk membantu di peringkat akar umbi," katanya yang bersara awal pada usia 17 tahun akibat kecederaan lutut.

Ujarnya, perkara paling penting sebagai seorang jurulatih adalah perlu menilai kekuatan dan kelemahan yang ada pada penerjun negara.

"Banyak yang saya belajar ketika di Kanada, saya mempunyai kepakaran bagaimana untuk berdepan dengan penerjun barat.

Bagaimanapun, kehadiran saya memang untuk membantu dan bukannya hanya di dalam latihan tapi juga setiap kejohanan yang bakal disertai anak buah saya nanti.

Saya juga perlu menyuntik aspek meningkatkan motivasi penerjun dan sekarang saya cuba untuk mendekati mereka," kata Li Rui.

Jelas jurulatih berusia 41 tahun itu, beliau bersedia untuk meningkatkan tahap kesukaran dan rutin penerjun negara selepas ini.

"Saya akan gabungkan teknik timur dan barat untuk melihat keputusan lebih baik," katanya yang juga pernah menjadi jurulatih Wilayah Shanxi.

Antara kejayaan Li Rui di Kanada ialah bekerjasama dengan penerjun wanita bertaraf pemenang pingat Olimpik, Kejohanan Dunia dan Sukan Komanwel, Meaghan Benfeito.

Selain Li Rui skuad negara mempunyai seorang lagi jurulatih dari Australia iaitu Christian Brooker.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mac 2019 @ 8:43 PM