PEMAIN Korea, Lee Nam Yong (kanan) menghalang pemain India, Gurinder Singh di Stadium Azlan Shah, Ipoh, hari ini. — FOTO Effendy Rashid
BERNAMA

IMPIAN India untuk merakam kemenangan kedua berturut-turut tersekat apabila sekadar seri 1-1 dengan Korea Selatan pada perlawanan hari kedua kejohanan hoki Piala Sultan Azlan Shah di Stadium Azlan Shah, Ipoh, hari ini.

Perlawanan yang terpaksa dihentikan lebih satu jam disebabkan hujan lebat, menyaksikan India mendahului 1-0 menerusi jaringan Mandeep Singh pada minit ke-28.

Gol itu nyata menaikkan semangat India untuk menggandakan jaringan namun serangan bertali arus ke kubu lawan gagal membuahkan hasil susulan kekebalan penjaga gol Korea, Kim Jae Hyeon.

Usaha Korea untuk menyamakan kedudukan akhirnya berhasil pada minit ke-60, apabila Jang Jong Hyun menyempurnakan pukulan sudut penalti.

Pada satu lagi perlawanan, Kanada merakam kemenangan sulung selepas membenam Poland 4-0.


PEMAIN Poland, Maciej Trojanek (tengah) cuba melepasi pemain Kanada di Ipoh. — FOTO Effendy Rashid

Kanada mendahului pada minit ke-35 menerusi gol padang yang dihasilkan Brenden Bisset.

Gol Poland sekali lagi bocor pada minit ke-47, kali ini giliran Devohn Noronha Teixeira pula mencetak nama selaku penjaring apabila pukulannya dalam kotak penalti berjaya menewaskan penjaga gol, Mateusz Popiolkowski.

Peluang pukulan sudut penalti pada minit ke-55 tidak disia-siakan Gordon Johnston bagi meletakkan pasukannya di kedudukan selesa 3-0.

Selang lima minit kemudian, Devohn sekali lagi menjadi duri dalam daging kepada Poland apabila pukulan derasnya gagal ditampan kemas oleh Popiolkowski sekali gus menghasilkan gol keempat buat Kanada.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Mac 2019 @ 11:37 PM