Nishel kata tumpuan diberikan terhadap sukan berpotensi tinggi guna bahan terlarang. FOTO NSTP
Azlan Muhammad Zain
azlanmz@nstp.com.my


AGENSI Anti-Doping Malaysia (ADAMAS) akan menyalurkan 80 peratus peruntukan diterimanya untuk menguji atlet dari sukan berpotensi tinggi menggunakan bahan terlarang.

Pendekatan berkenaan dimaklumkan Penolong Pengarah Kanan ADAMAS, Nishel Kumar yang menjelaskan penilaian semula terhadap semua sukan dilakukan pihaknya pada tahun ini.

"Pada tahun ini, tumpuan akan diberikan terhadap sukan yang berpotensi tinggi menggunakan bahan terlarang.

Sebanyak 80 peratus peruntukan akan disalurkan kepada sukan yang membabitkan aspek kekuatan dan ketahanan seperti olahraga, renang, basikal, angkat berat dan sebagainya.

"Manakala ujian terhadap sukan yang banyak mengunakan kemahiran seperti memanah, menembak dan sebagainya akan dikurangkan. Namun pada masa yang sama, kami tetap melakukan pemantauan," jelasnya.

ADAMAS mendapat peruntukan RM2.5 juta setiap tahun merangkumi semua aspek perbelanjaan operasi agensi terbabit.

Manakala setiap sampel dihantar untuk ujian akan menelan kos kira-kira RM1,400.

Bagaimanapun menurut Nishel, pihaknya tetap memberi tumpuan terhadap aspek pendidikan kepada semua jenis sukan menjelang Sukan SEA Filipina penghujung tahun nanti.

"Kami sudah mula memberi pendedahan tentang doping pada awal bulan kepada Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) dengan sukan lain akan disusuli secara berperingkat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mac 2019 @ 4:08 PM