DEPAY meledakkan gol membenam Belarus 4-0. -Foto REUTERS
AFP

MEMPHIS Depay muncul wira Belanda apabila dua jaringan dan dua bantuan gol dilakukannya membolehkan mereka membelasah Belarus 4-0 dalam aksi pertama kelayakan Euro 2020 awal pagi tadi meskipun terpaksa beraksi dengan 10 pemain pada 20 minit terakhir.

Depay meletakkan Belanda di depan beberapa saat selepas sepak mula dan meledak penalti pada awal separuh masa kedua selepas membantu jaringan Georginio Wijnaldum pada minit ke-21.

Dia kemudiannya melakukan hantaran yang disempurnakan tandukan Virgil van Dijk untuk gol keempat pasukan ketika pasukannya beraksi dengan 10 pemain apabila pemain gantian terakhir Kenny Tete mengalami kecederaan hamstring.

“Sukar untuk memilih di antara jaringan dan bantuan gol,” kata Depay selepas aksi membanggakan buat pasukan yang mula mempamerkan kebangkitan.

“Gol pertama memang hebat kerana saya melakukannya dari tepi gawang tetapi saya juga menyukai tolakan yang membantu jaringan kedua.”

Skuad Ronald Koeman yang dibarisi pemain muda melonjak ke tangga teratas Kumpulan C, berkongsi tiga mata dengan Ireland Utara, menjelang aksi berdepan Jerman awal pagi Isnin, yang tersingkir daripada Liga Negara-Negara, kali terakhir mereka bertemu pada November.

Belanda mempamerkan kebangkitan sejak diambil alih Koeman selepas gagal layak ke Piala Dunia 2018, menewaskan Jerman dan juara dunia Perancis untuk menjuarai kumpulan Liga Negara-Negara dan bakal bertemu England pada separuh akhir Jun depan.

“Sesuatu yang memalukan apabila terpaksa bermain dengan 10 pemain pada 20 minit terakhir,” kata bekas pengurus Ajax, Southampton dan Everton.

“Saya berang dengan diri sendiri tetapi Denzel (Dumfries) mengalami kesakitan pada pangkal paha jadi saya perlu membuat perubahan.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mac 2019 @ 8:41 AM