Pemain Kazakhstan, Baktiyor Zain melepasi pemain Scotland dalam saingan Kumpulan I, kelayakan EURO 2020 di Astana, Kazakhstan. FOTO Reuters.
Agensi

KAZAKHSTAN memulakan kempen kelayakan EURO 2020 dengan bergaya apabila menewaskan Scotland, 3-0 dalam saingan Kumpulan I di Astana Arena, Astana, sebentar tadi.

Tuan rumah mendahului seawal minit keenam permainan menerusi jaringan cantik Yuri Pertsukh yang bijak menyambar hantaran rakan sepasukan A Merkel.

Disusuli gol kedua jaringan Y Vorogovsky empat minit kemudian yang mengelirukan penjaga gol Scotland, Scott Bain.

Tersentak dengan jaringan itu, Scotland yang dibimbing Alex McLeish cuba menggandakan asakan namun berjaya dipatahkan pertahanan tuan rumah. Kedudukan 2-0 itu kekal sehingga tamat separuh masa pertama perlawanan.

Kazakhstan menambah jaringan ketiga menerusi B Zaynutdinov enam minit selepas separuh masa kedua bersambung untuk menewaskan Bain buat kali ketiga.

Pasukan Kazakhstan memungut tiga mata pertama bagi Kumpulan I yang turut membabitkan Belgium, Russia, Cyprus dan San Marino.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mac 2019 @ 12:57 AM