MOHAMAD Arif (tiga dari kiri) bersama Iskandar Hazriq (empat dari kiri) memenangi pingat emas dan Iskandar Zulkarnain merangkul pingat gangsa di Pattaya.
Farah Suhaidah Othman
cnews@nstp.com.my


IMPIAN memastikan lagu Negaraku berkumandang dalam Kejohanan Festival Muay Thai Dunia di Pattaya, Thailand menjadi kenyataan selepas dua anak jati Perak merangkul dua pingat emas pada kejohanan berakhir kelmarin.

Iskandar Hazriq Mohd Ezry A’zamin (gambar), 12, meraih emas kategori Superkid 25 kilogram (kg), manakala Mohamad Arif Zahari, 15, menggondol emas kategori 35 kg.

Abang Iskandar Hazriq, Iskandar Zulkarnain, 15, atau mesra disapa ‘Khuntab’ pula merangkul gangsa kategori Remaja 47 Kg.

Bapa Iskandar Hazriq, Mohd Ezry A’Zamin Abd Wahab yang juga Presiden Persatuan Tomoi Negeri Perak berkata, dalam kejohanan berkenaan kontinjen negara berjaya meraih empat emas, dua perak dan satu gangsa serta dua pengiktirafan tali pinggang kejohanan.

Katanya, Iskandar Hazriq menewaskan peserta tuan rumah, manakala Mohamad Arif menumpaskan lawan dari Hong Kong pada perlawanan akhir kategori masing-masing.

“Pada malam Iskandar memenangi emas, dia hubungi saya dan berkata, Abah, Adik (panggilan Iskandar) bangga dapat kibar Jalur Gemilang’.

“Memang impian dia mahu lagu Negaraku berkumandang dan mengibarkan bendera Malaysia setiap kali menyertai kejohanan di peringkat antarabangsa,” katanya ketika dihubungi semalam.

Mohd Ezry A’Zamin berkata, kejayaan anak sulungnya, Iskandar Zulkarnain meraih gangsa satu pencapaian yang boleh dibanggakan kerana pertama kali menyertai kategori remaja.

Dalam pada itu, beliau yang juga wakil Persekutuan Muaythai Dunia (WMF) Perak berharap kerajaan negeri dapat memberi sokongan dan bantuan dari segi kewangan kepada tiga anak muda berkenaan untuk membawa nama negara ke persada antarabangsa.

“Selepas ini, ketiga-tiga anak Perak ini akan menyertai kejohanan di peringkat antarabangsa termasuk Kejohanan Muay Dunia di Eropah.

“Mereka ini perlu diberi sokongan supaya dapat mengekalkan ranking masing-masing selain terus membawa nama negara ke mata dunia dalam sukan tomoi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mac 2019 @ 7:01 AM