MESSI menjaringkan gol pertama Barca menerusi sepakan percuma menarik di Seville. - FOTO Agensi
Reuters

LIONEL Messi sudah biasa mendapat penghormatan di Nou Camp tetapi kali ini dia mendapat tepukan bergemuruh daripada penyokong pasukan lawan susulan hatrik menakjubkan ketika membenam Real Betis 4-1 Stadium Benito Villamarin, awal pagi tadi.

Messi membuka tirai jaringan hasil sepakan percuma menarik dan kombinasi berbisanya dengan Luis Suarez berjaya merobek gawang lawan untuk gol kedua sejurus sebelum rehat.

Bintang Argentina itu menjaringkan gol terakhir melengkapkan kemenangan Barca pada minit ke-85 hasil lambungan hebat di dalam kotak penalti selepas mendapat hantaran Ivan Rakitic sekali gus mengukuhkan cengkaman di puncak La Liga dengan 10 mata.

Penjaga gol Betis, Pau Lopez tampak terpukau manakala penyokong lawan yang terkenal dengan kesetiaan kepada pasukan mereka berdiri memberi tepukan gemuruh sambil menjerit nama Messi.

"Walaupun Betis melepaskan gol kepada Messi, mereka tetap mengagumi kehebatan dia dan hari ini mereka menyanjunginya,” kata jurulatih Barca, Ernesto Valverde.

"Penyokong lawan menderita kerananya tetapi pada masa sama menghargai apa yang dimiliki pemain ini. Prestasi Leo memang luar biasa, dia sepatutnya menjaringkan empat gol. Itu menunjukkan betapa bagusnya Messi.”

Jurulatih Betis, Quique Setien sedar akan penghargaan penyokong mereka kepada Messi dan beliau sendiri bangga dapat bekerja dalam era yang sama dengan bintang Argentina itu.

"Saya sangat suka dengan penghargaan penyokong kami kepada Messi dan hari ini dia membuat kami merana,” kata Setien.

“Saya mempunyai beberapa pemain hebat tetapi tiada siapa setanding Messi sejak 12 tahun lalu. Sangat istimewa berada satu era dengannya dan teruja melihat dia beraksi setiap minggu.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mac 2019 @ 8:01 AM